Khamis, November 10, 2011

Rampasan hanya satu per sepuluh tugas Penguatkuasa KPDNKK


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

TUGAS Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bukan sekadar merampas barangan semata-mata.

Ketua Pengarahnya, Mohd Roslan Mahayuddin berkata, langkah seterusnya adalah membuka kes terhadap rampasan untuk proses penyiasatan dan pendakwaan.

“Ini kerana melakukan rampasan barangan (dalam operasi) diibaratkan sebagai hanya satu per sepuluh daripada tugas kita (Bahagian Penguatkuasa).

“Seperti kes cetak rompak dan tiruan, kita memerlukan kerjasama daripada pemilik jenama bagi membantu siasatan,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Mohd Roslan bagaimanapun berkata, banyak kes terbengkalai berikutan pemilik jenama sebenar tidak dikenal pasti bagi barangan yang dirampas itu.

“Terdapat juga situasi di mana pemilik tidak mahu tampil memberi kerjasama apabila menyifatkannya tidak berbaloi kerana nilai rampasan yang kecil.

“Sikap tersebut membuatkan kita pula terpaksa menanggung (kesannya) kerana apa yang hendak dibuat dengan barangan rampasan,” katanya.

Beliau menambah, secara logiknya, jika sesuatu kes itu tidak dibawa ke mahkamah maka barangan rampasan perlu dipulangkan kepada pemilik atau peniaga.

“Bagaimanapun, kita tidak akan bertindak sedemikian kerana langkah tersebut hanya menggalakkan lagi perniagaan barangan tiruan dan cetak rompak,” katanya.

Sebelum ini kitaran proses penguatkuasaan akan terhenti sehingga menyebabkan terlalu banyak barang rampasan yang disimpan di stor.

Mekanisme adil

Mohd Roslan berkata, dianggarkan antara 30 sehingga 40 peratus daripada jumlah kes ditolak oleh mahkamah kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk pendakwaan.

“Bagi saya, kadar (peratusan) itu membimbangkan kerana perlu diingatkan bahawa kita merampas barangan daripada orang ramai seperti peniaga,” katanya.

Peniaga pasti akan berkata: “Jika saya bersalah, dakwalah saya dengan segera.” Dan perkara tersebut merupakan cabaran bagi Bahagian Penguatkuasa KPDNKK.

“Kebiasaannya, apabila kita selesai menyiasat satu-satu kes, laporan penuh akan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk proses pendakwaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, TPR yang menilai akan menolak untuk tindakan seterusnya sekiranya tiada pengesahan dan pengecaman daripada pemilik jenama.

“Kita diminta siasat, siasat dan siasat lagi. Ini menyebabkan tempoh kes berpanjangan dan barang rampasan terus disimpan di stor,” katanya.

Sehubungan itu, pelaksanaan Penyenaraian Pemilik Cap Dagangan Berdaftar atau Basket of Brands (BOB) merupakan satu kaedah bagi melancarkan penguatkuasaan.

Mohd Roslan berkata, setakat ini KPDNKK mempunyai seramai 2,174 pegawai penguatkuasa di seluruh negara.

“Kita akan melihat kelancaran jentera penguatkuasaan di mana para pegawai tidak akan menghabiskan masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu kes.

“Pelaksanaan BOB dilihat sebagai satu mekanisme yang adil antara pemilik jenama dan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK untuk membanteras aktiviti barangan cetak rompak dan tiruan tersebut daripada terus berleluasa di negara ini,” katanya.

Basket of Brands Bantu Percepat Penguatkuasaan KPDNKK

ANTARA kesukaran yang dihadapi oleh Bahagian Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah meneruskan kes-kes rampasan barangan cetak rompak dan barangan tiruan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana segelintir pemilik jenama atau pemilik cap dagangan enggan memberi kerjasama bagi membuat pengecaman dan pengesahan terhadap barangan yang dirampas.

“Jadi bagaimana kita hendak pastikan sama ada barangan tersebut adalah tiruan atau cetak rompak. Kita tidak boleh mendakwa begitu sahaja tanpa pengesahan mereka.

“Apa gunanya kita tangkap, kita rampas tetapi kes-kes itu ‘terlepas’. Jika situasi ini berterusan maka isu barangan tiruan dan cetak rompak tidak akan selesai,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Sebanyak 1,728 kes cetak rompak dicatatkan dengan rampasan bernilai RM30.42 juta dan 1,353 kes barangan tiruan dengan sitaan kira-kira RM14 juta pada tahun lalu.

Bagi tempoh dari Januari sehingga September tahun ini pula terdapat 457 kes cetak rompak dikesan melibatkan penyitaan barangan bernilai RM9.62 juta.

KPDNKK turut mencatatkan 1,015 kes barangan tiruan dengan nilai rampasan RM10.98 juta.

Beri keutamaan

Ismail Sabri berkata, satu mekanisme baru diperkenalkan iaitu Penyenaraian Pemilik Cap Dagangan Berdaftar atau lebih dikenali sebagai Basket of Brand (BOB).

“KPDNKK akan mendapat kerjasama daripada pemilik jenama dalam tempoh tujuh hari selepas rampasan dibuat oleh bahagian penguatkuasa.

“Jenama yang disenaraikan dalam BOB akan diberikan keutamaan dari segi penguatkuasaan secara proaktif.

“Setakat ini, kira-kira 74 jenama yang disenaraikan,” katanya.

Beliau berkata, bukan bermakna jenama-jenama yang tidak tersenarai dalam BOB bebas ditiru atau dijual.

“KPDNKK masih melakukan penguatkuasaan namun terpulang kepada pemilik jenama yang tidak tersenarai untuk melakukan tindakan sivil.

“Saya percaya BOB membantu menyelesaikan kes-kes berkaitan dengan barangan rampasan agar dapat diselesaikan di mahkamah dengan segera.

“Selain itu, ia turut dapat melancarkan proses penguatkuasaan sekali gus mengurangkan lambakan barangan rampasan di stor penyimpanan,” katanya.

Difahamkan, pemilik jenama di Hong Kong atau wakil mereka datang membuat pengecaman dalam tempoh dua jam selepas rampasan.

Beliau yang mengulas mengenai perkara itu berkata, KPDNKK bersikap fleksibel dan memadai dengan tempoh tujuh hari.

“Kita mahu komitmen yang lebih baik daripada mereka,” katanya.

Kesedaran pengguna

Bagaimanapun, isu kerjasama daripada pemilik jenama bukan masalah tunggal kerana ia turut melibatkan kesedaran pengguna.

Ini kerana pengguna merupakan penyumbang terbesar kepada perniagaan barangan tiruan dan cetak rompak di negara ini.

“Bila ada peniaga yang menjualnya, sudah tentu terdapat permintaan di kalangan pengguna yang hanya mementingkan diri sendiri (kerana membelinya).

“Pengguna seharusnya menyedari hal ini dan sepatutnya bertindak memboikot barangan berkenaan dan hanya membeli barangan yang asli sahaja,” katanya.

KPDNKK pada tahun lalu berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi 2010 iaitu pengurangan sebanyak 30 peratus bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak.

Ismail Sabri berkata, pengurangan 35.4 peratus dicatatkan bagi bilangan premis yang menjual barangan itu daripada 460 premis kepada 297 premis berbanding tahun sebelumnya.

“Saya yakin pelaksanaan BOB turut membantu mencapai KPI tahun ini iaitu pengurangan sebanyak 50 peratus bagi bilangan premis yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak,” katanya.

- MSTAR
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts