Fasa Pertama MRT Dibuka Percuma Sebulan Mulai 16 Dis 2016



Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh-Kajang yang akan dilancar pada Jumaat ini dijangka tidak banyak digunakan.

Bagaimanapun apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan memudahkan seramai 400,000 penumpang.

Pelancaran itu bakal menyaksikan 12 stesen MRT dibuka dan antaranya ialah Sg Buloh, Kampung Selamat, Damansara, Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan pembukaan fasa satu tidak banyak digunakan oleh orang awam.

“Ini kerana, perkhidmatan komuter di Sungai Buloh merupakan satu-satunya penghubung dengan MRT.

“Aliran ini tidak bersambungan dengan perkhidmatan berasaskan rel yang lain dan ia tidak ke pusat bandar,” katanya.

Jajaran sepanjang 23 kilometer itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membuat lawatan bersama beberapa penulis blog dan aktivis sosial pada Jumaat.

Najmuddin berkata dengan siapnya fasa Kedua – yang mempunyai 19 stesen lain sehingga ke Kajang – MRT bakal berkhidmat kepada seramai kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang koridor berkenaan.

“Kami menjangkakan kira-kira 400,000 penumpang setiap hari apabila ia beroperasi sepenuhnya,” jelasnya.

Najmuddin berkata, selepas perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya ia akan membantu mereka yang tinggal di kawasan Sungai Buloh, Kota Damansara, Bandar Utama, Cheras dan Kajang untuk keluar bekerja di pusat bandar.

“Kapasiti setiap aliran ialah sebanyak 20,000 penumpang setiap jam. Setiap tren MRT, yang mempunyai empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang.

“Semasa waktu puncak, kekerapan tren adalah 3.5 minit setiap satu,” kata Najmuddin.

Ketika ini, memandu dari Sungai Buloh ke Phileo Damansara di sini semasa waktu puncak boleh mengambil masa sehingga 90 minit.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata tambang maksimum sebanyak RM6.40 dikenakan berdasarkan struktur tambang tunai dan RM5.50 berdasarkan tambang tanpa tunai.

120 bas pengantara juga akan ditempatkan di 26 laluan untuk memberi perkhidmatan kepada 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan yang membentuk fasa pertama laluan MRT.

MRT Lembah Klang(KVMRT) melibatkan pembinaan jaringan pengangkutan awam yang berasaskan rel, yang akan berintegrasi dengan sistem-sistem transit aliran ringan atau light rail transit (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit. Sistem-sistem pengangkutan rel ini akan menjadi tulang belakang perkhidmatan pengangkutan awam kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembang Klang.

Projek ini diluluskan Kerajaan pada Disember 2010. Jajaran pertama yang dilaksanakan adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km. Pembinaan jajaran ini telah dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai 2011 oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pada mulanya, projek MRT ini telah dicadangkan oleh satu konsortium sektor swasta pada awal 2010. Cadangan ini adalah untuk pembinaan sistem MRT dengan tiga jajaran.

Kerajaan telah membuat kajian atas cadangan tersebut dan meluluskan perlaksanaan jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang sebagai jajaran pertama sistem MRT Lembah Kelang. Kerajaan juga memutuskan dua jajaran yang lain akan dilaksanakan setelah kajian dijalankan melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang yang dirangka oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Projek MRT Lembah Klang merupakan satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, salah satu daripada 12 NKEA yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP). Program ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan adanya MRT di Lembah Klang, sasaran untuk menjadikan 50% daripada kesemua perjalanan yang dilakukan di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dengan menggunakan pengangkutan awam akan dapat dicapai.

Fasa pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.

Jajaran ini bermula dari Sungai Buloh di barat laut Kuala Lumpur, melalui pusat bandar raya dan berakhir di Kajang, sebuah bandar yang pesat membangun di tenggara Kuala Lumpur.

Sepanjang 9.5km jajaran ini akan dibina bawah tanah. Terdapat 31 stesen di sepanjang stesen ini, di mana tujuh adalah stesen bawah tanah. Fasa pertama jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dari stesen Sungai Buloh hingga stesen Semantan, akan beroperasi pada akhir 2016. Fasa kedua dari stesen Semantan ke stesen Kajang akan beroperasi pada Julai 2017 dan ini akan membolehkan tren beroperasi di seluruh jajaran.


0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.