Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label kwsp. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kwsp. Papar semua catatan

Akaun Fleksibel ganti pengeluaran bersasar KWSP mulai tahun 2024

by


      Kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana       Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebaliknya tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.

"Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP. Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.

"Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini. Akaun III yang mana boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

"Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan," katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Ahmad berkata, mekanisme dan peratus dana yang akan dimasukkan dalam Akaun Fleksibel KWSP masih belum diputuskan.

Sebelum ini, pelbagai pihak menuntut kerajaan melaksana sekali lagi pengeluaran bersasar KWSP berikutan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga barangan serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menjawab soalan asal Kalam sama ada kerajaan bercadang meningkatkan pelaburan tempatan KWSP, beliau berkata, setakat Jun lalu jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.

Katanya, jumlah pelaburan itu dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding 2022.

"Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh Panel Pelaburan KWSP pada setiap tahun. Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP sudah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

"Bagi 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan sudah diperuntukkan. KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan," katanya.

Sumber : Berita Harian

i-Citra guna dana Akaun 2 ahli terlebih dulu

by

 

Pengeluaran i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggunakan dana simpanan di dalam Akaun 2 terlebih dulu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jika dana di dalam Akaun 2 pemohon tidak mencukupi, pihaknya akan membenarkan mereka untuk menggunakan dana di dalam Akaun 1.

Katanya, pengumuman mengenai i-Citra adalah satu keputusan yang sukar kerana realitinya, KWSP diberi mandat untuk membantu anggota selepas persaraan.

"Namun, kami juga faham bahawa pandemik COVID-19 mendatangkan dugaan luar biasa, maka kami cuba mencari jalan untuk memberi ruang kepada anggota untuk mengakses dana simpanan mereka di waktu mencabar ini. 

"i-Citra direka dengan mengambil semua dana yang tersedia di dalam Akaun-2 anggota terlebih dulu. Jika dana daripada akaun ini tidak mencukupi, maka barulah kami membenarkan anda untuk mengakses Akaun 1," katanya,

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan 'MIDF Conversations' secara maya, hari ini.

Sesi yang julung kali diadakan itu dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani.

Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan i-Citra di bawah Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP layak menikmati inisiatif terbabit.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP cuba mencari keseimbangan di antara membantu anggota dan pada masa sama memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah keseluruhan pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari adalah kira-kira RM80 bilion, namun ia tidak menjejaskan kecairan KWSP.

"Kami boleh menguruskannya asalkan ia dirancang dan kemudian boleh disesusaikan dengan portfolio pelaburan KWSP.

"Kunci utama buat kami ialah tidak menghilangkan mandat yang diberikan, yang mana di akhirnya apa yang perlu diberi perhatian ialah mengenai isu persaraan anggota.

"Jika kita membiarkan dana simpanan anggota digunakan sehingga habis, maka ia akan menjadi masalah yang tidak boleh diuruskan. Justeru, KWSP perlu menyeimbangkan langkah yang mahu diambil," katanya.

Sumber : Berita Harian

Semakan Status Keputusan Permohonan i Sinar KWSP

by

 

Pihak KWSP sudah mengeluarkan Semakan Status Keputusan Permohonan i-Sinar KWSP. Semakan boleh dibuat di : https://isinar.kwsp.gov.my/check-status

 

 

SOALAN LAZIM i SINAR KWSP

1. Apa itu i-Sinar?
i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.



2. Apakah kriteria untuk saya memohon i-Sinar?

Kriteria kelayakan terbahagi kepada 2 kategori seperti di bawah:

Kategori 1 Kategori 2

Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan:

  • Anda sudah lama tidak mencarum
  • Anda seorang suri rumah
  • Anda bekerja sendiri dan bekerja di sektor ekonomi gig
  • Anda hilang pekerjaan
  • Anda diberi cuti tanpa gaji
  • Anda hilang sumber pendapatan

Tiada dokumen perlu disertakan bersama permohonan. Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP:

  • Tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya dua (2) bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
  • Mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas sejak 1 Mac 2020.

Ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (jumlah gaji, elaun dan elaun kerja lebih masa) sejak 1 Mac 2020.

Permohonan ini perlu disertakan bersama dokumen berikut:

  • Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; DAN
  • Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa; DAN/ATAU
  • Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.



3. Bila dan bagaimanakah saya boleh memohon i-Sinar?
  1. Sekiranya anda tergolong dalam Kategori 1, anda boleh mula memohon pada 21 Disember 2020.
  2. Bagi anda yang tergolong dalam Kategori 2 pula, permohonan boleh dibuat bermula 11 Januari 2021.
  3. Permohonan i-Sinar hanya secara online di laman web isinar.kwsp.gov.my



4. Apakah perkara penting yang perlu saya lakukan sebelum memohon i-Sinar?
  1. Bagi melancarkan urusan permohonan nanti, anda digalakkan untuk mendaftar nombor telefon bimbit anda di cawangan atau kios KWSP dan mengemas kini maklumat melalui aplikasi atau portal i-Akaun.
  2. Pastikan akaun bank yang diberikan kepada KWSP semasa pendaftaran:
    1. Masih aktif
    2. Milik anda
    3. Bukan Akaun Bersama (Joint Account)
Nota:
  1. Pastikan urusan pendaftaran nombor telefon bimbit anda di kios atau cawangan KWSP dirancang sebaik mungkin.
  2. KWSP sentiasa mengamalkan SOP yang ketat sepanjang tempoh pandemik ini sebagai langkah-langkah penting untuk menjaga kesihatan dan keselamatan ahli.



5. Bagaimanakah caranya saya boleh menyemak baki simpanan Akaun 1 saya?

Anda boleh menyemak baki simpanan Akaun 1 secara online melalui aplikasi atau portal i-Akaun atau cawangan atau kios KWSP yang terdekat.




6. Bila dan bagaimanakah pembayaran i-Sinar saya akan dibuat?
  1. Bagi kategori 1, pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat bermula pertengahan Januari 2021.
  2. Bagi kategori 2, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.
  3. Pembayaran selebihnya akan dibuat secara bulanan mengikut jumlah dan tempoh permohonan anda.
  4. Pembayaran akan dilakukan melalui kaedah pengkreditan terus (direct credit) ke dalam akaun bank milik anda.



7. Berapakah amaun kelayakan i-Sinar?

Amaun kelayakan i-Sinar adalah berdasarkan baki simpanan Akaun 1 Ahli seperti berikut:

Baki Simpanan Akaun 1: RM100,000 dan ke bawah Baki Simpanan Akaun 1: Lebih dari RM100,000
Pengeluaran sehingga RM10,000 (Tertakluk kepada baki simpanan minimum RM100 dalam Akaun 1). Pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan (Tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000).
Bayaran bulan pertama mengikut pilihan anda sehingga maksimum RM5,000. Bayaran bulan pertama mengikut pilihan anda sehingga maksimum RM10,000.

Bayaran selebihnya adalah minimum RM1,000 sebulan (Tertakluk kepada baki bayaran bulan terakhir dengan amaun bayaran minimum RM50)

Dibayar dalam tempoh sehingga 6 bulan.

Bayaran selebihnya adalah minimum RM1,000 sebulan.

Dibayar dalam tempoh sehingga 6 bulan.

Baki Akaun 1 Amaun pengeluaran maksimum Pembayaran bulan pertama
RM4,500 RM4,400 RM4,400
RM10,000 RM9,900 RM5,000
RM70,000 RM10,000 RM5,000
RM100,000 RM10,000 RM5,000
Baki Akaun 1 Amaun pengeluaran maksimum Pembayaran bulan pertama
RM100,001 RM10,000 RM10,000
RM500,000 RM50,000 RM10,000
RM800,000 RM60,000 RM10,000



8. Adakah saya perlu membayar semula amaun i-Sinar yang dikeluarkan?

Anda tidak perlu membayar semula.




9. Jika saya telah memohon Pengeluaran i-Lestari, bolehkah saya memohon i-Sinar?

Boleh. Anda yang sedang menerima bayaran bulanan Pengeluaran i-Lestari juga boleh memohon i-Sinar.

 

Sumber : KWSP


Adha Zain

 

 

Tarikh caruman wajib KWSP kembali ke 15 hari bulan

by

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan semula tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman wajib kepada 15 hari bulan bermula Januari 2021.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu selaras dengan tarikh asal bayaran caruman yang ditetapkan KWSP.

Sebelum ini, KWSP melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan kepada 30 hari bulan bagi bulan April 2020 hingga Ogos 2020, sebelum sekali lagi bertindak melanjutkan tarikh caruman wajib itu bagi bulan September 2020 hingga Disember 2020.

"KWSP sebelum ini melanjutkan tarikh bayaran caruman berkenaan dengan tujuan untuk meringankan beban majikan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19.

"Tarikh pembayaran caruman dikembalikan kepada tarikh asal bagi memastikan caruman pekerja dibayar tanpa kelewatan," katanya.

KWSP berkata, majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan Internet atau di kaunter bank yang dilantik.

Sumber : Harian Metro

KWSP i-Sinar: Boleh mohon bermula 21 Disember 2020

by

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kemudahan i-Sinar kini dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 dengan permohonan dalam talian bermula 21 Disember 2020.

Pengurus dana persaraan itu berkata, kriteria kelayakan bagi Kategori 1 membabitkan ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Katanya, kriteria bagi Kategori 1 itu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

"Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

"Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021," katanya dalam satu kenyataan.

KWSP berkata, bagi Kategori 2 pula, ia adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

"Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

"Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan. Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021," katanya.

KWSP berkata, untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Katanya, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Mengenai jumlah kelayakan i-Sinar, KWSP berkata, ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Ia berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun 1, pengurus dana persaraan itu berkata, mereka boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Katanya, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Program i-Sinar KWSP diperluas kepada semua ahli terjejas

by

 

Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan, dengan lebih lapan juta pencarum akan mendapat manfaat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

"Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, atau pendapatan mereka berkurangan tahun ini, ahli berkenaan layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1.  

"Tanpa mengira sama ada ahli adalah pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak, selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

"Daripada dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, ahli cuma perlu memohon menerusi dalam talian atau hadir ke mana-mana pejabat KWSP bagi mendapatkan inisiatif berkenaan.

"Tunjukkan bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT (elaun kerja lebih masa) atau pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri," katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka terhadap keluhan ahli dan cetusan pendapat Ahli Parlimen mengenai syarat yang terlalu ketat, seperti ahli yang sudah berhenti mencarum beberapa tahun tetapi masih mempunyai simpanan namun tidak layak membuat pengeluaran Akaun 1.

"Ada pula ahli yang tidak hilang pekerjaan tetapi gaji, elaun atau bayaran lebih masa dipotong dengan ketara hingga menjejaskan kemampuan mereka menampung perbelanjaan diri dan keluarga.

"Mereka turut merungut kerana tidak layak memohon dan kerajaan mendengar semua ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Kadar dividen KWSP bakal terjejas jika pengeluaran besar-besaran

by

 


Pengeluaran tunai dalam kuantiti besar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi menjejaskan kadar pulangan dividen tabung simpanan persaraan itu dalam tempoh jangka panjang.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program i-Lestari dan i-Sinar dijangka menyaksikan pengeluaran berjumlah RM45 bilion.

Jelasnya, dengan inisiatif pengurangan kadar caruman KWSP melibatkan nilai RM8 bilion tahun ini, ditambah RM9 bilion lagi tahun depan, impak keseluruhan kepada KWSP diunjurkan sekitar RM60 bilion.

“Itu jumlah kos peluang yang hilang bagi KWSP. Untuk tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi simpanan konvensional dan lima peratus simpanan shariah, melibatkan jumlah pembayaran RM45.82 bilion.

“Sekiranya KWSP ingin memberi dividen sekurang-kurangnya lima peratus tahun ini, anggaran jumlah yang diperlukan adalah RM46 bilion,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Ahmed Razman, berhubung kadar dividen tahun ini, KWSP menyatakan mereka mempunyai mandat untuk memberikan pulangan sekurang-kurangnya 2.5 peratus dan mengatasi kadar inflasi sebanyak dua peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Tambahnya, KWSP berkemungkinan besar mampu memenuhi mandat berkenaan, dengan kadar inflasi yang rendah tahun ini namun kadar pulangan minimum mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan sasaran pemberian RM46 bilion adalah lebih realistik.

“Sekiranya KWSP terus mengekalkan strategi biasa, mereka tidak mampu membayar sebanyak itu, jumlah pembayaran dividen oleh KWSP memperlihatkan trend penurunan dengan RM45.82 bilion pada 2019, RM47.3 bilion (2018) dan RM48.13 bilion (2017).

“Mereka mungkin terpaksa menjual ekuiti dan saham di pasaran, yang seterusnya menambah kehilangan kos peluang serta berpotensi menjejaskan pulangan dividen untuk jangka panjang,” katanya. 

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pencairan aset oleh KWSP boleh menggoncang ekonomi negara disebabkan kedudukannya sebagai pelabur gergasi di pasaran domestik.

Menurutnya, pegangan aset KWSP berlainan dengan dana lain seperti Amanah Saham Bumiputera mahupun Tabung Haji kerana pengeluaran simpanan KWSP secara besar-besaran amat jarang berlaku.

“KWSP mungkin terpaksa menjual aset mereka yang paling cair dan aset sebegini kebiasaannya banyak memberikan keuntungan.

“Sudah pasti KWSP terjejas dengan perkembangan semasa, isunya adalah sejauh mana,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

Khidmat Nasihat Simpanan Persaraan KWSP

by


Pegawai kanan pemasaran, Alila Muhammad tidak tahu jumlah terkumpul yang akan dimilikinya menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehinggalah beliau bertemu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) baru-baru ini.

"Saya berasa terkejut apabila mengetahui akan memperoleh simpanan lebih RM1 juta selepas usia 55 tahun sekiranya saya tidak mengeluarkan duit daripada Akaun 2 dalam tempoh 14 tahun lagi.

"Pepatah lama, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, ternyata benar apabila melibatkan soal pengurusan wang," kata Alila, 41, yang memperoleh pendapatan lebih RM6,000 sebulan.

Ahli KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan wang dari Akaun 2 bagi membayar hutang, membiayai pendidikan dan perubatan.

Namun bagi Alila, disebabkan sesi khidmat nasihat itu, beliau melakukan penelitian untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP yang dilaburkan dalam amanah saham sejak enam tahun lalu.

Beliau juga meneliti perbezaan pulangan sama ada daripada pelaburan amanah saham dan kadar dividen KWSP.

Selepas sesi rundingan dengan KWSP, beliau menyedari bahawa pengetahuan celik tentang kewangan amat penting dalam memilih pelaburan.

RAS yang dilancarkan pada 2014, merupakan inisiatif KWSP untuk memastikan ahlinya menyedari kepentingan perancangan persaraan.

Perkhidmatan tersebut merupakan yang pertama diperkenalkan di benua Asia Tenggara dan bertujuan membantu ahli KWSP membuat keputusan tepat sebelum mengeluarkan wang simpangan mereka, demikian kata pengawai RAS, Nornisah Mohd Yusof.

"Perkhidmatan ini disediakan bagi mendidik ahli menguruskan wang persaraan dan mewujudkan pendapatan bulan yang mapan untuk menampung kehidupan mereka apabila sudah bersara," katanya.

RAS diwujudkan selepas kajian mendapati ahli KWSP berusia 54 tahun ke atas memiliki kurang RM50,000 dalam simpanan mereka.

"Kajian juga menunjukkan peratusan besar ahli KWSP gemar menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh dua hingga lima tahun selepas bersara (pada usia 55 tahun atau 60 tahun).

"Namun jangka hayat rakyat Malaysia dianggarkan boleh mencapai usia 75 tahun, menyebabkan ramai ahli tidak memiliki wang yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka," kata Nornisah.

Menurut beliau, ahli KWSP perlu memiliki wang simpanan sekurang-kurangnya RM228,000 pada usia 55 tahun.

Laporan tahunan KWSP pada 2015 mencatatkan bahawa kira-kira 80 peratus ahlinya yang masih aktif, memiliki purata simpanan RM100,000 ke bawah dan jumlah berkenaan tidak cukup menampung tempoh persaraan mereka.

Tambah Nornisah, kebanyakan ahli KWPS didapati sukar untuk menguruskan wang mereka disebabkan tidak memiliki wang yang mencukupi dan perancangan persaraan.

Beliau menasihatkan agar rakyat Malaysia menyimpan untuk masa depan dan tidak berbelanja sesuka hati.

"Sukar buat anda untuk mendapat wang, jadi menyimpanlah dengan bijak. Tidak terlalu awal sebenarnya untuk memikirkan soal perancangan kewangan.

"Pelajar lepasan universiti perlu digalakkan menyimpan sedikit wang gaji mereka untuk persaraan manakala golongan yang berusia 40-an dan 50-an perlu mempertimbangkan pelan pengurusan kewangan bagi mengelakkan dibelenggu masalah hutan apabila bersara," katanya.

Selain itu, Nornisah menggalakkan ahli KWSP untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi mengetahui kepentingan membuat keputusan melibatkan soal perbelanjaan dan simpanan wang persaraan.

"Khidmat ini adalah percuma," katanya.

Ahli KWSP boleh bertemu dengan pegawai RAS yang akan menyalurkan nasihat mengikut usia, kerjaya dan jangkaan.

Pegawai-pegawai tersebut sangat berpengetahuan luas tentang produk KSWP selain soal perancangan persaraan dan kewangan.

Mereka juga terlibat dalam program dengan agensi khidmat nasihat kewangan yang lain seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Bank Negara.

"Kami akan mengira jumlah yang perlu disimpan sebaik sahaja ahli bersara dan keperluan asas yang diperlukan.

"Kami akan cuba memenuhi matlamat, objektif dan keperluan yang diperlukan ahli selepas bersara. Kebiasaannya kami menggalakkan ahli untuk mempertimbangkan mengeluarkan wang simpanan setiap bulan.

"Setakat ini, seramai 19,678 ahli telah mengunjungi RAS. Ahli juga boleh mendapatkan khidmat nasihat sama ada terus datang ke kaunter atau mengatur temu janji.

"Dua kaedah yang digunakan adalah berdasarkan maklumat ahli. Pegawai RAS akan menumpukan pelan persaraan untuk ahli yang berusia 35 tahun ke atas dan kepentingan perancangan kewangan untuk mereka yang berusia di bawah 35 tahun," kata beliau sambil menambah ahli yang menghadapi masalah kewangan boleh mendapatkan bantuan daripada AKPK.

Terdapat 18 cawangan RAS yang disediakan di seluruh negara dan jumlah itu akan ditambah kepada 28 cawangan pada tahun depan.

Selain perancangan kewangan, RAS juga menyediakan khidmat KWSP yang lain termasuk Caruman Pilihan sendiri dan Skim Persaraan 1Malaysia.

"Kami telah bertemu dengan ramai ahli yang tampil ke kaunter untuk memohon pengeluaran penuh KWSP.

"Namun mereka menilai semula keputusan tersebut dan mengeluarkannya secara fleksibel berbanding pengeluaran penuh selepas bertemu pegawai RAS.

"Terdapat juga ahli yang mencarum wang untuk meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka," katany Nornisah.

Bermula Januari 2017, KWSP akan membenarkan pesara terus menyimpan wang simpanan mereka dan memilih untuk menerima dividen sehingga usia 100 tahun, berbanding mengeluarkan wang tersebut sepenuhnya.

Pengeluaran KWSP Untuk Pendidikan Naik Mendadak

by

Platform dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merangkumi i-Akaun, kiosk KWSP dan myEPF, terus menjadi mod transkasi pilihan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KWSP berkata, prestasi operasi 2016 suku keduanya menyaksikan penggunaan i-Akaun setakat Jun tahun ini meningkat 44.26 peratus kepada 4.81 juta berbanding 3.33 juta pada suku kedua 2015.

Jumlah penggunaan Kios KWSP ketika suku di bawah kajian meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta sebelum ini.

Penggunaan kemudahan dalam talian e-Pengeluaran melonjak selepas ia diperluas untuk memasukkan permohonan bagi pengeluaran pendidikan dan kesihatan pada April, di samping pengeluaran untuk perumahan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkhidmatan KWSP telah berubah pesat bagi disesuaikan dengan masa dan harapan ahlinya.

"Kemudahan e-Pengeluaran adalah bahagian perniagaan dan transaksi yang berkembang kerana ia menawarkan lebih banyak kemudahan kepada ahli mengemukakan permohonan pengeluaran mereka.

"Bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran telah juga melaporkan pengurangan besar dalam masa yang diambil serta meningkatkan produktiviti harian," katanya.

Bank yang menyertai e-Pengeluaran pada masa ini termasuk Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

Shahril Ridza berkata, KWSP berusaha untuk menambah bilangan bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran bagi membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada kemudahan dalam talian itu.

Setakat akhir Jun 2016, e-Pengeluaran telah meluluskan 18,707 permohonan untuk pengeluaran pendidikan sejak kemudahan dalam talian itu diperkenal April lepas.

"Keseluruhan permohonan diluluskan untuk pengeluaran pendidikan pada suku kedua 2016 menyaksikan peningkatan mendadak 200.43 peratus kepada 60,931 melibatkan RM370.39 juta berbanding 20,281 permohonan yang diluluskan bernilai RM96.86 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Shahril Ridza berkata, jumlah pemohon untuk pengeluaran simpanan persaraan secara berperingkat juga meningkat berikutan peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang mengiktiraf manfaat menyimpan untuk tempoh lebih panjang di samping memperoleh dividen tahunan.

Suku di bawah kajian menyaksikan kenaikan 12.64 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 kepada 91,111 daripada 80,890 dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jumlah yang dikeluarkan di bawah skim itu ialah RM2.70 bilion berbanding RM3.12 bilion pada suku kedua 2015, katanya.

"Sebaliknya, jumlah permohonan dilulus untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 pada suku kedua 2016 jatuh 8.56 peratus kepada 54,946 berbanding 60,087 permohonan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, jumlah permohonan dilulus untuk pengeluaran perumahan turun kepada 111,169 pada suku kedua 2016 melibatkan RM1.62 bilion, berbanding 111,898 pada suku kedua 2015.

Keseluruhannya, jumlah ahli KWSP meningkat 3.05 peratus kepada 14.80 juta (suku kedua 2016) berbanding 14.38 juta (suku kedua 2015), di mana 6.85 juta atau 46.33 peratus adalah ahli aktif.

Jumlah majikan yang baru mendaftar pada suku di bawah kajian merosot 19.17 peratus daripada 18,903 (suku kedua 2015) kepada 15,279 pada suku kedua 2016, menjadikan majikan setakat 30 Jun 2016 berjumlah 539,291.

Sehingga akhir Jun 2016, kadar majikan ingkar adalah stabil pada 1.10 peratus, katanya.

"Seiring dengan pertambahan ahli, komitmen kami juga meningkat untuk memberi perkhidmatan yang lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos dan kami menggalakkan lebih ramai ahli mendaftar untuk i-Akaun bagi memanfaatkan kemudahan berkenaan.

"i-Akaun juga membolehkan ahli memastikan majikan mereka mencarum bagi pihak mereka secara tetap dan tepat pada masanya," tambah beliau.

- Bernama

Ahli KWSP Boleh daftar Skim Simpanan Shariah pada 8 Ogos

by


Selaras kehendak pelanggan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengumumkan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan konsep syariah.

Dijangka dilancarkan pada 1 Januari 2017, skim yang dikenali sebagai Simpanan Shariah itu akan dibuka pendaftaran untuk ahli KWSP mulai 8 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata skim simpanan baharu itu terbuka kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

"Susulan keputusan rundingan awam yang dijalankan KWSP tahun lalu, lebih 71 peratus responden bersetuju untuk mewujudkan opsyen supaya ahli boleh memilih sama ada simpanan mereka diuruskan berdasarkan prinsip syariah.

"Oleh itu, selaras dengan kehendak semasa ahli, KWSP dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah," katanya pada Majlis Penerangan Bersama Media mengenai skim baharu itu, di sini, sebentar tadi.

Shahril berkata, KWSP memperuntukkan dana permulaan RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Katanya, pembabitan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baharu kerana lebih 45 peratus atau RM295 bilion daripada jumlah aset pelaburan agensi itu adalah patuh syariah.

"Pada masa depan, kita menjangkakan perkembangan pelaburan aset syariah tidak kurang daripada RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset syariah.

"Proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Justeru, ahli yang ingin menukar skim daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari bermula dari 8 Ogos 2016.

"Peluang pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'. Oleh itu, ahli perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember ini dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion," katanya.

- KitaiKini

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90