Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label lesen umrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lesen umrah. Papar semua catatan

Wajib ambil insurans, syarat baru Umrah

by


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) mewajibkan insurans takaful bagi setiap jemaah dan insurans indemniti ke atas syarikat pengendali umrah sebagai penambahbaikan dalam syarat khusus Lesen Khas Umrah (LKU).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia bagi melindungi daripada segala bentuk kecemasan dan perkara tidak diingini termasuk jemaah terkandas akibat masalah kewangan serta penghantaran balik disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, sebelum ini jemaah tidak sedar bahawa insurans perlindungan individu atau pukal yang dibeli tidak melindungi perkara seperti terkandas dan sebagainya sehingga musibah terbabit terjadi ke atas mereka.

Katanya, LKU yang diperkenalkan mulai 1 Oktober lalu turut menetapkan empat lagi syarat lebih khusus.

"Pertama, pemegang LKU perlulah 100 peratus warganegara Malaysia dan beragama Islam, kedua menghadiri Kursus Pengukuhan Pemantapan Umrah (KPPU) di peringkat tertinggi berstatus pengarah atau pemegang saham.

"Ketiga, mempunyai perjanjian muasassah terkini atau perjanjian kerjasama dengan syarikat berstatus muasassah terkini.

"Keempat menjadi ahli Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang masih sah laku sekurang-kurangnya enam bulan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan LKU di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPK Datuk Ab Ghaffar A Tambi dan Pengerusi Eksekutif Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS).

Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) berkata, pihaknya turut melaksanakan penggunaan Sistem Pemantauan Bersepadu dikenali sebagai IMAMS bagi melaksana dan memantau pelbagai aspek kawalan oleh kerajaan dalam pelbagai urusan berkaitan pengendalian umrah.

Menurutnya, KPK juga memperkenalkan beberapa inisiatif sokongan ke arah kelancaran perjalanan LKU seperti dokumentasi garis panduan, syarat dan senarai semak berkaitan serta contoh Sijil LKU, kad pengenalan Pegawai Pemasaran Umrah dan Kelulusan Pengiklanan di bawah satu payung iaitu Buku Panduan LKU.

"Kementerian menerima 80 permohonan tambah bidang bagi LKU setakat 27 September lalu dan daripada jumlah itu, 25 syarikat yang memenuhi syarat serta dokumentasi sokongan menjadi kumpulan sulung penerima LKU hari ini.

"Dengan mengambil kira bahawa pengenalan LKU ini masih baru dan akan melalui tempoh peralihan, maka kerajaan seterusnya bersetuju untuk memberikan pengecualian yuran proses dan yuran LKU sehingga 31 Disember ini," katanya.

- Harian Metro


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90