Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pertukaran guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pertukaran guru. Papar semua catatan

Garis panduan baharu permohonan pertukaran guru sepanjang tahun

by

 

Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan garis panduan baharu bagi permohonan pertukaran guru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata garis panduan itu akan menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) 1975 iaitu berkenaan panduan bagi pertukaran guru.

"Dalam garis panduan baharu ini banyak penambahbaikan yang kita perkenalkan antaranya ialah kita akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

"Banyak lagi penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam konteks pertukaran guru ini dan KPM akan memberi penjelasan lanjut berkaitan dengan garis panduan baharu ini dalam masa terdekat," katanya dalam video terbaharu menerusi Facebook beliau.

Mengakui isu itu berlarutan sekian lama, Radzi berkata KPM telah meneliti perkara utama serta penambahbaikan yang akan dibuat.

Radzi berkata beliau menerima banyak rayuan daripada guru supaya permohonan pertukaran bagi 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara 'one off' yang telah diumumkan KPM sebelum ini. 

"Sememangnya itulah hasrat KPM iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 guru baharu daripada pengambilan 'one off' ini kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk 2021," katanya.

Bagaimanapun, Radzi menjelaskan bahawa terdapat beberapa perkara utama yang diambil kira dalam mempertimbangkan sebarang permohonan pertukaran itu termasuk sekiranya terdapat kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

"Dua perkara ini adalah perkara asas yang diambil kira oleh kementerian dalam menimbang sebarang permohonan pertukaran kerana katakan ada kekosongan jawatan di negeri tersebut tetapi tidak ada kekosongan atau keperluan opsyen yang berkaitan, maka permohonan amat sukar untuk dipertimbangkan.

"Kita sedar cabaran yang dihadapi oleh guru dalam konteks memohon pertukaran ini dan pihak kementerian telah meneliti perkara berkaitan secara menyeluruh," katanya.

Radzi berkata KPM komited dalam menjaga kebajikan guru dan menyeru mereka terus memberikan yang terbaik dan berusaha bersama-sama meningkatkan kualiti pendidikan negara dalam melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat. 

Sumber : BERNAMA

 

60 peratus pertukaran 'guru duka lara' selesai sejak 2016

by


Kementerian Pendidikan sudah menyelesaikan kira-kira 60 peratus pertukaran 'guru duka lara' di seluruh negara sejak 2016, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Katanya, pertukaran guru diluluskan berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

"Contohnya, guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak hendak bertukar ke Kelantan amat sukar kerana hanya kira-kira 100 sahaja ingin bertukar ke negeri lain berbanding 5,000 permohonan masuk ke negeri itu.

"Kita mencadangkan mereka (dari Sabah dan Sarawak) transit dahulu di Johor kerana ramai guru yang ingin keluar berbanding mereka yang ingin bertugas di negeri itu," katanya selepas Dialog Prihatin Perikatan Nasional dan Pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara di Pantai Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor.

Kementerian katanya, turut memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan.

"Guru yang belum berkahwin boleh memohon pertukaran selepas 90 bulan, sementara guru sudah berkahwin memohon selepas tempoh 60 bulan," katanya

Sementara itu, katanya, semua pelajar di daerah Kota Setar, Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pentadbiran, sejak Jumaat lalu akan mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Selain pelajar, semua pentadbir sekolah dan guru juga diarahkan melaksanakan proses sama hingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

"Pihak sekolah diminta membantu kumpulan pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

"Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau pun ibu bapa boleh mengambilnya di sekolah," katanya.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, Home-based Learning' turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.

"Semalam sahaja kita masih ada 800 slot siaran TV Pendidikan yang belum disiarkan. Keutamaan ini diberikan kepada pelajar yang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia)," katanya.

Sumber : Berita Harian

Pertukaran Guru Tahun 2020 Kini Dibuka

by

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah Bagi Tahun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tahun 2020 melalui Modul EG-Tukar dibuka Mulai 17 FEB Hingga 17 MAC 2020.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Permohonan Pertukaran Guru Atas Talian. https://epgo.moe.gov.my/

4000 guru duka lara disatukan menjelang akhir 2016

by


Seramai 4,000 lagi guru yang tinggal berjauhan daripada pasangan masing-masing atas tuntutan tugas akan disatukan menjelang hujung tahun ini apabila permohonan pertukaran dibuka semula pada bulan hadapan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kira-kira 4,300 orang guru yang diistilahkan sebagai duka lara telah dibenarkan membuat pertukaran tempat kerja dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Bulan depan saya jangka lebih 10,000 guru duka lara akan membuat permohonan pertukaran.

“Bermula Januari hingga Jun lepas, kerajaan te­lah bantu 4,300 orang guru dan saya jangka kali ini jumlah sama iaitu 4,000 boleh dibantu untuk mereka bersatu semula dengan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Indera Mahkota di Hotel Zenith dekat Kuantan.

Program khas untuk menyelesaikan masalah guru ‘duka lara’ dimulakan sejak Mahdzir memegang jawatan Menteri Pendidikan pada Julai 2015 yang melibatkan lebih daripada 30,000 guru di seluruh negara.

- Kosmo!

Alasan Popular Untuk Memohon Pertukaran Guru

by


1. Cukup Tempoh Berkhidmat
Alasan ini hanya boleh digunapakai oleh guru yang sudah berkhidmat lebih 4 tahun di sekolah semasa. Namun, alasan ini belum tentu menjamin anda dapat bertukar.

2. Mengikut Pasangan
Alasan ini dikatakan lebih kukuh, kerana keprihatinan pihak bertanggungjawab terhadap pasangan yang terpaksa berjauhan. Perlu dikepilkan dengan dokumen sokongan sebagai bukti. Namun tidak semua pemohon yang menggunakan alasan ini berjaya.

3. Ancaman Keselamatan
Keselamatan merupakan antara aspek penting dalam memastikan guru dapat berkhidmat dengan baik. Maka jika ada gangguan kepada anda, beserta dengan laporan polis, maka gunakan alasan ini untuk menyokong permohonan pertukaran anda.

4. Sakit atau Menghidap Penyakit Kritikal
Kesihatan juga antara aspek yang diberi perhatian dalam faktor menentukan permohonan pertukaran guru. Surat doktor dan dokumen sokongan lain perlu disertakan sebagai bukti mengukuhkan permohonan anda.

5. Menjaga Ibu dan bapa
Ini adalah antara alasan popular digunakan oleh guru yang memohon bertukar, terutamanya yang belum berkahwin. Namun, alasan ini agak kurang kukuh.

6. Tidak Mengajar Subjek Major
Alasan ini digunakan dengan harapan pihak bertanggungjawab akan melihat itu sebagai satu pembaziran modal insan dan seterusnya menghantar cikgu berpindah ke tempat yang dipohon.

7. Menyambung Pelajaran
Alasan sambung belajar juga merupakan satu lagi alasan popular yang sering digunakan semasa memohon pertukaran.

8. Menjaga Rumah Yang Dibeli
Ada sebilangan guru yang mendapat pertukaran kerana menggunakan alasan ini selepas rumah beliau dimasuki pencuri. Maka beserta repot polis dan juga dokumen sokongan, alasan menjaga rumah digunapakai.

9. Stress dan Tekanan di Tempat Mengajar
Ada juga sebahagian guru yang lebih berani menggunakan alasan stress ini untuk pertukaran.

10. Tidak Serasi Dengan Budaya Setempat
Bagi yang ditugaskan di tempat yang jauh dari kampung halaman, budaya semasa dan tidak dapat membiasakan diri dengan budaya setempat, mungkin anda boleh gunakan alasan ini untuk memohon pertukaran.

11. Cari Jodoh
Ada juga kes yang menggunakan alasan ini dan berjaya.

12. Perlukan Suasana Baru
Bagi guru yang mahu alasan anda kelihatan lebih positif, anda boleh gunakan alasan ini, iaitu anda mahukan suasana baru yang positif. Seperti yang kita ketahui, tempoh yang berpatutan bagi seseorang guru untuk berada di sesebuah sekolah adalah dalam 5-6 tahun. Maka ini adalah alasan terbaik untuk anda gunakan jika mahu persekitaran baru.

13. Motivasi Diri
Ini juga alasan positif yang boleh digunakan.  Nyatakan bahawa tujuan anda berpindah adalah untuk meningkatkan motivasi diri di sekolah baru. Mungkin jika ketua jabatan terbuka hati, maka permohonan anda akan diluluskan.

14. Mencabar Kebolehan Diri
Bagi guru yang mahu berpindah ke kawasan atau sekolah yang lebih mencabar, maka lebih baik anda gunakan alasan 'mencabar kebolehan diri' bagi menunjukkan kesungguhan anda.

15. Mencari Pengalaman Baru
Alasan terakhir yang anda boleh gunakan adalah untuk mencari pengalaman di sekolah baru.

Kredit : http://www.cikguhailmi.com/


Permohonan Pertukaran Guru Secara Online (eGTukar) Sesi Jun 2016

by



Permohonan Pertukaran Guru Secara Online (eGTukar) Sesi Jun 2016 dibuka dari 1 April sehingga 25 April 2016. Permohonan Pertukaran Guru Sesi Jun 2016 adalah untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, DG32 (KUP Time-based), DG34 (KUP Time-based), DG38 (KUP Time-based), DG41, DG42, DG44 (KUP Time-based), DG48 (KUP Time-based), DG52 (KUP Time-based) dan DG54 (KUP Time-based).

Terdapat tiga kriteria utama yang melayakkan guru lulus bertukar ke negeri yang dimohon iaitu:
a. Kepentingan perkhidmatan
b. Kekosongan jawatan
c. Keperluan opsyen di negeri yang dimohon

Guru  boleh  memohon  bertukar  ke mana-mana  daerah/sekolah.  Namun  begitu, kelulusan akan mengambil kira bilangan keseluruhan permohonan ke daerah/sekolah tersebut berdasarkan kepentingan  perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen.

Untuk soalan lazim : https://epgo.moe.gov.my/surat_siaran/FAQ.pdf

Permohonan hendaklah dibuat secara online di Aplikasi eGTukar

https://epgo.moe.gov.my/


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90