Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label ptptn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ptptn. Papar semua catatan

PTPTN perkenal Portal Majikan Online, mudahkan urusan potongan gaji

by


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Portal Majikan Online sebagai satu inisiatif baharu untuk memudahkan urusan potongan gaji yang lebih cekap dan efisyen.

Perkhidmatan dalam talian ini memberi kemudahan platform kepada majikan dengan proses pengesahan dan semakan data yang lebih mudah dengan proses keseluruhan potongan gaji dilaksanakan secara digital.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata potongan gaji pelanggan yang sebelum ini diuruskan secara manual boleh dilaksanakan pihak majikan secara dalam talian melalui Portal Majikan Online di pautan https://www.ptptn.gov.my/PortalMajikan/Utama.

Katanya, Portal Majikan Online yang diperkenalkan adalah sebagai salah satu agenda pendigitalan ke arah penambahbaikan perkhidmatan dalam talian untuk memudahkan urusan potongan gaji ke arah perkhidmatan PTPTN yang lebih cekap dan efisyen.

"Dengan adanya Portal Majikan Online, majikan boleh melakukan transaksi potongan gaji pekerja pada bila-bila masa dengan mudah, cepat dan selamat.

"Melalui inisiatif ini akan memudahkan majikan melaksanakan potongan gaji untuk bayaran balik pinjaman atau penabungan dalam Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) oleh peminjam PTPTN atau pendeposit Simpan SSPN," katanya dalam kenyataan

Katanya lagi, kerajaan melalui Belanjawan 2024 juga telah bersetuju dengan pemberian insentif diskaun 15 peratus untuk bayaran balik pinjaman PTPTN secara potongan gaji bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.

"Diharapkan majikan membantu pekerja mereka yang merupakan peminjam PTPTN untuk mengambil peluang membuat bayaran balik melalui potongan gaji dan menikmati insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Bulan Menabung SSPN (BMS 2022) perkasa budaya menabung

by

 


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang juga agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited dalam usaha menyebar luas keistimewaan dan manfaat Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dengan melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 buat kali kelima bermula semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata penganjuran BMS 2022, bertujuan sebagai platform menggalakkan budaya penabungan dalam kalangan Keluarga Malaysia serta bersempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Beliau berkata, BMS 2022 dijalankan selama tiga hari di pelbagai lokasi di seluruh negara bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan masyarakat dengan menabung melalui Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

"Antara keistimewaan yang ditawarkan termasuklah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran BMS 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, BMS 2022 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 untuk 25 pemenang di peringkat nasional serta hadiah berupa pelbagai barangan yang menarik untuk 84 pemenang di peringkat negeri.

Noraini berkata, Simpan SSPN berjaya merekodkan jumlah deposit sebanyak RM12.81 bilion, dengan bilangan akaun berjumlah 5.5 juta setakat 31 Ogos 2022.

Justeru, katanya, dengan penganjuran program BMS 2022 itu, beliau menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM150 juta.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan hadiah kepada dua pemenang Lee Yung Chok, 34, dan Nurul Huda Wahab, 39, yang juga pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,525.

Nurul Huda yang berasal dari Gombak melahirkan rasa terkejut selepas dipilih sebagai pemenang, kerana sekadar mencuba menyertai pertandingan itu, selepas membuat simpanan SSPN bagi dua anaknya.

"Saya macam tidak percaya yang saya boleh menang, selepas saya nampak iklan mengenai peraduan ini (Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN), saya rasa tertarik untuk mencuba dan saya sentiasa konsisten untuk membuat penambahan deposit ke dalam akaun lebih tiga hingga empat kali dalam sebulan," katanya. 

Sumber : BERNAMA

Pinjaman PTPTN dinaikkan 100 peratus bagi M40 kategori M1

by

 


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 kategori M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

"Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi, …banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian," katanya berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan oleh Noraini bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta mahasiswa supaya terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Perdana Menteri turut menyeru mahasiswa Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatakan kecintaan kepada negara.

"Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.

"Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Russia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dan perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semangat mencintai negara dalam kalangan mahasiswa hendaklah terus digilap dan dipupuk serta dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.

"Saya percaya mata pelajaran umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia," katanya.

Mahasiswa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan keperibadian unggul bagi membuktikan mereka ialah pewaris legasi kemerdekaan negara, yang berjiwa nasional dan penuh wibawa.

Sesuai dengan tema program hari ini, 'Mahasiswa Patriotik Keluarga Malaysia', Perdana Menteri turut yakin golongan itu akan berupaya menjelmakan satu gelombang momentum semangat kesetiaan dalam melaksanakan kewajipan sebagai benteng kedaulatan dan maruah negara.

"Berpeganglah pada lima prinsip Rukun Negara dengan pasakkan tekad yang teguh untuk tetap bersatu dalam kepelbagaian dan jangan sekali-kali membiarkan anasir luar mengganggu-gugat kesepaduan kita.

"Mari berganding bahu demi merealisasikan masa hadapan lebih gemilang buat Malaysia tercinta, dan kita paterikan janji keramat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa berkibar megah di persada jaya," katanya.

Sumber : Berita Harian

Permohonan tangguh bayaran balik pinjaman PTPTN dibuka mulai 28 Disember 2021

by

 

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan akibat banjir ketika ini, boleh mengemukakan permohonan untuk penangguhan bayaran balik pinjaman, mulai esok hingga 31 Mac 2022.

PTPTN dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan permohonan itu boleh dikemukakan melalui portal rasmi: www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalikBanjir, atau dengan hadir ke mana-mana cawangan PTPTN yang berhampiran.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan ketika permohonan berkenaan.

"Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan, bermula pada bulan sama kelulusan permohonan diberikan PTPTN, dan dua bulan ke hadapan antara Disember 2021 hingga Mei 2022.

"Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui emel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

"Sehubungan itu, peminjam diingatkan agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan berkenaan dapat disampaikan kepada mereka," katanya.

PTPTN sekali gus merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman itu bagi mereka yang terkesan akibat banjir.

Katanya, PTPTN komited memastikan urusan terbabit dapat dilaksanakan dengan baik demi kebajikan peminjam.

"Pelbagai usaha dilaksanakan PTPTN bagi membantu dan meringankan beban peminjam ketika berdepan bencana ini.

"Permohonan secara dalam talian bagi penangguhan bayaran balik pinjaman ini ialah antara keprihatinan PTPTN untuk memudahkan urusan peminjam.

"Permohonan dapat dibuat hanya di hujung jari dengan lebih mudah, cepat dan selamat di mana saja mereka berada.

"Selain itu, peminjam juga diberi pilihan jika ingin membuat permohonan melalui mana-mana kaunter Pejabat PTPTN yang berhampiran, mengikut keselesaan mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat amnya dan peminjam PTPTN khususnya, jelas membuktikan keprihatinan kepada golongan terjejas bagi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN: www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.

Selain itu, boleh menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03-2193 3000 (beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang); Live Chat di www.ptptn.gov.my; e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/; Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn; dan media sosial rasmi PTPTN.

 

 

 

 

Permohonan tangguh bayaran balik PTPTN dibuka

by

 

Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ser Dr Noraini Ahmad, berkata peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai esok hingga 31 Ogos depan.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan keprihatinan kerajaan yang menyedari terdapat peminjam PTPTN masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

"Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan dengan butiran pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan PTPTN.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban ditanggung peminjam PTPTN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang. 

Kerajaan sebelum ini menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam, mulai 19 Mac hingga 31 Disember 2020 serta penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam terkesan selama tiga bulan, antara Januari hingga Mei lalu.  

Sumber : Berita Harian

 

Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga 31 Disember 2020

by


Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober ini.

Langkah itu diambil seiring pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bagi mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Menteri Pengajian tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata penangguhan terbabit membabitkan jumlah bayaran balik kira-kira RM375 juta.

"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Sekiranya ada peminjam ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi segelintir peminjam PTPTN yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan susulan penularan wabak itu.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN menerusi talian di 03 - 2193 3000 yang beroperasiIsnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau layari portal rasmi, www.ptptn.gov.my.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Muhyiddin dipetik berkata, lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.


Jawatan Kosong Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

by
Warganegara Malaysia yang cukup syarat kelayakan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan adalah dipelawa untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan tetap atau kontrak yang diiklankan.

Jawatan kosong terkini yang diiklankan adalah seperti berikut:

1. EKSEKUTIF PEMASARAN

Iklan Jawatan Kosong
https://www.ptptn.gov.my/ptptn-kerjaya

Tarikh Tutup Permohonan: 20 & 21 Januari 2020

Temuduga Terbuka Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - 31 Jul 2019

by

Temuduga Terbuka Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Sukacita  dimaklumkan  bahawa  Perbadanan  Tabung  Pendidikan  Tinggi  Nasional (PTPTN),  sebuah  organisasi  yang  bertanggungjawab  memberi  pinjaman  kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi yang layak dan menerima deposit di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional(SSPN), mempelawa calon-calon WARGANEGARA MALAYSIA yang berumur 18 tahun pada tarikh temuduga serta berminat menghadiri  temuduga  terbuka  jawatan  Eksekutif  Pemasaran  lantikan kontrak yang akan diadakan pada tarikh/hari, masa dan tempat seperti berikut :

Tarikh / Hari: 31 Julai2019/ Rabu

Masa:10.00 pagi hingga 4.00 petang(pendaftaran dibuka mulai 10.00 pagi -12.00 tengah hari)

Tempat:Bilik Bengkel 1, Tingkat 1
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Menara PTPTN, Blok D, Megan Avenue II
No.12, Jalan Yap Kwan Seng
50450 KUALA LUMPUR

Syarat lantikan adalah seperti berikut :JAWATAN:EKSEKUTIF PEMASARAN(KONTRAK)

PENEMPATAN:PEJABAT  PTPTN  NEGERI  (PPN) WP  KUALA  LUMPUR (ZON UTARA)

Akan  ditempatkan  dan  bertugas  di Pejabat  Cawangan sekitar Kuala Lumpur

GAJI:RM1,600.00SEBULAN
INSENTIF:KOMISEN BERDASARKAN PRESTASI

Iklan Kekosongan:
https://www.ptptn.gov.my/images/fail/jawatan_kosong/2019/jawatan_kosong_ep_klu_072019_v2.pdf

 

Pemegang Ijazah Kelas 2 Atas Perlu Bayar Pinjaman PTPTN

by


Seramai 2,643,734 pelajar membuat pinjaman berjumlah RM48.6 bilion daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak ia ditubuhkan pada 1997, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Mary Yap berkata daripada jumlah itu, kira-kira 41,706 peminjam dengan pinjaman RM1.2 bilion mendapat manfaat pelepasan pengecualian bayaran balik.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berhubung pinjaman PTPTN di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Mary Yap, kementerian juga tidak merancang untuk memperluaskan pengecualian bayaran pinjaman balik kepada graduan yang mendapat ijazah kelas 2 atas.

"Kementerian buat masa ini masih belum bercadang meluaskan skop pengecualian bayaran balik, terutama kepada yang mendapat kelas ke-2 atas," katanya.

Ditanya sekiranya PTPTN telah mengenal pasti punca segelintir peminjam tidak membayar pinjaman mereka, Mary Yap berkata tiada kajian terperinci dilakukan.

Namun, katanya, maklum balas yang diterima mendapati antara faktor peminjam gagal melunaskan pinjaman ialah mereka belum mendapat pekerjaan dan telah bekerja tapi pendapatan tidak setimpal dengan kelulusan.

"Peminjam lain mempunyai gaji yang mencukupi tetapi memandang ringan pembayaran pinjaman," katanya.

- mSTAR

Peminjam PTPTN Kini Disenarai Hitam

by

Kira-kira 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di mana ia akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Beliau menambah, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat.

Sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga Julai tahun ini, terdapat seramai 2.49 juta peminjam PTPTN.

PTPTN menawarkan pinjaman dari pengajian peringkat diploma ke peringkat PhD.

Walau bagaimanapun, untuk nama seseorang disenaraikan dalam CCRIS adalah satu perkara yang neutral, kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kad kredit, gadai janji, pinjaman kenderaan, atau apa-apa bentuk pinjaman dari institusi kewangan berlesen akan disenaraikan dalam pangkalan data ini yang ditadbir oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

"Oleh itu, apabila nama seseorang berada dalam CCRIS ia tidak bermaksud sebagai satu 'hukuman' dan mereka yang kerap membayar balik PTPTN tidak perlu bimbang jika mereka disenaraikan dalam CCRIS kerana rekod mereka akan 'bersih'," kata Mastura.

"CCRIS adalah pangkalan data yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menilai mereka yang membuat permohonan pinjaman. Jika mereka seorang pembayar yang baik, maka permohonan pinjaman mereka akan diluluskan," katanya.

Mastura mendedahkan bahawa sejak PTPTN mula menggunakan CCRIS pada 2015, lebih ramai peminjam telah tampil untuk berunding mengenai mod pembayaran balik yang lebih meringankan.

Walau bagaimanapun, PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Bulan lalu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan pinjaman penuh tidak lagi boleh diberikan kerana rekod buruk pembayaran balik.

Katanya hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

Staf awam liat bayar PTPTN dipotong gaji

by

Dianggarkan kira-kira 163,007 penjawat awam yang liat membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berdepan tinda­kan pemotongan gaji sebagai jalan penyelesaian kepada isu tersebut.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan surat pemotongan gaji kepada kumpulan terlibat dalam jangka masa terdekat.

Seramai 32,803 penjawat awam pelbagai gred kecuali Jusa C, Gred 54 dan 28 didapati tidak pernah melakukan sebarang transaksi bayaran.

Seramai 130,204 penjawat awam pelbagai gred dikesan membuat pembayaran secara tidak konsisten yang menjadikan jumlah keseluruhan kepada 163,007 orang.

Semalam, dalam media tempatan turut melaporkan selain disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS), nama peminjam PTPTN juga dihantar kepada Jabatan Imigresen un­tuk disenaraihitamkan.

Natijahnya, me­reka bukan sahaja tidak boleh keluar negara malah, diha­lang daripada memperbaharui pasport.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, sebelum ini melaporkan berkata, kutipan pinjaman telah meningkat RM5 juta sehari berbanding RM800 kesan daripada pengumuman nama-nama mereka yang liat bayar pinjaman akan diseranaikan di CCRIS.

Ini diberikutan, sumber menyebut, 130,000 penimjam PTPTN degil akan disenarai dalam CCRIS termasuk 33 kakitangan awam me­rangkumi berjawatan kanan kerana tidak pernah langsung membayar pinjaman.

Sumber : Utusan

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90