Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label sprm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sprm. Papar semua catatan

SPRM tarik balik video 'MC Boleh Menjadi Rasuah'

by

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan menarik balik video 'MC (Sijil Cuti Sakit) Boleh Menjadi Rasuah' yang menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sejak ia dimuat naik kelmarin.

SPRM melalui satu kenyataan hari ini, berkata bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan pihaknya mengambil keputusan untuk menarik balik video berkenaan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.

Menurutnya, video yang diterbitkan itu bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.

Katanya, dalam konteks video berkenaan, ia merujuk kepada isu pemberian MC palsu dan contoh itu berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan diterima daripada pihak majikan serta orang awam kepada suruhanjaya ini.

"SPRM tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan.

"Suruhanjaya amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID -19," katanya.

Kenyataan SPRM itu merujuk kepada video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang dimuat naik bertajuk 'MC Boleh Menjadi Rasuah' pada Selasa lalu.

Katanya, SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak MMA.

MMA dalam kenyataannya semalam menyelar tindakan SPRM berikutan video itu sambil menggesa agensi penguatkuasaan itu menjaga reputasi sendiri dan membuat permohonan maaf terbuka.

MMA turut mendesak SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan.

 

 

 

Halang naik pangkat dan tukar, punca penjawat awam 'takut' lapor rasuah

by

 

Halangan kenaikan pangkat, pertukaran dan gangguan dalam jadual pekerjaan, antara tekanan diberikan kepada penjawat awam yang melaporkan aktiviti rasuah dalam jabatan dan agensi kerajaan. Tekanan ini mengakibatkan ramai penjawat awam hari ini 'takut' untuk melaporkan aktiviti rasuah itu kepada pihak atasan apatah lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ekoran bimbang karier mereka tergugat. 

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata tekanan itu juga menjadi punca mengapa laporan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam sendiri rendah.

"Ada dalam kalangan ketua perkhidmatan akan memberi tekanan kepada penjawat awam antaranya membabitkan kenaikan pangkat, kesusahan dalam bentuk jadual kerja, skop tugas dan pertukaran menyusahkan.

"Perkara-perkara inilah yang berlaku menyebabkan ramai penjawat awam enggan melaporkan kesalahan rasuah berikutan kesukaran yang akan dialami mereka pada masa hadapan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan SPRM mendedahkan hanya 0.01 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata angka itu masih rendah dalam usaha sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Shamshun berkata, walaupun insentif disediakan kepada penjawat awam melaporkan kes rasuah, data suruhanjaya itu menunjukkan hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat antara 2012 hingga tahun lepas.

Sumber : Berita Harian

 

Versi Mandarin portal SPRM diaktif semula

by

 

website sprm mandarin

Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baharu diwujudkan tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hari ini menjelaskan versi berkenaan sudah wujud sejak 2015 dan ditutup sementara pada 2018, sebelum diaktifkan semula dengan penambahbaikan baru-baru ini bagi memastikan mesej antirasuah disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat di negara ini.

"Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018. Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup," katanya kepada Bernama berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu.

Hari ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menerusi Ketua Pergerakan Wiranya, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.

Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat lain-lain bahasa sebagai pilihan.

Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Tidak timbul isu SPRM tidak mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM," katanya.

Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman mengenai kepentingan pencegahan rasuah tercapai.

Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.

"Selagi kami meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan lain-lain bahasa sebagai pilihan, ia tidak menjadi kesalahan," katanya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya SPRM menawarkan kemudahan bahasa Mandarin di portal rasmi suruhanjaya itu dengan tujuan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas tentang isu rasuah.

Beliau berkata, sistem keadilan di negara ini sama ada di mahkamah, balai polis atau penjara juga menawarkan kemudahan penterjemahan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

"Kesedaran mengenai gejala rasuah adalah sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan tidak boleh dihentikan," katanya.

SPRM baru-baru ini memaklumkan portal dalam bahasa Mandarin diaktifkan semula bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut. 

Sumber : BERNAMA

 

 

SPRM Sasar Tiga Tahun Bersihkan Rasuah Penjawat Awam

by


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

"Tempoh tiga tahun dipilih kerana pada 2020 Malaysia seharusnya sudah mencapai status negara maju," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

Beliau berkata sebanyak 665 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun 2016 hingga Februari tahun ini (2017) melibatkan penjawat awam.

"Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan kita (SPRM) khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang," katanya pada majlis Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Bersama SPRM di KKLW.

Hadir sama ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada 665 kertas siasatan itu, seramai 548 penjawat awam telah ditangkap dan sebanyak 63 kes dituduh di mahkamah, katanya.

Azam turut merujuk kepada kes rasuah Jabatan Air Sabah sebagai indikator yang tidak baik apabila seorang penjawat awam boleh 'tidur' dengan wang sebanyak lebih RM50 juta di rumahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Azam berkata sasaran membersihkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam masa tiga tahun merupakan faktor utama SPRM lebih agresif menjalankan operasi sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata keadaan negara yang semakin membangun dan banyak transaksi ekonomi berlaku membuka banyak peluang untuk rasuah.

"Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya," katanya.

- Bernama

Salahguna Kuasa di Sabah, Wang Tunai RM52 Juta Ditemui

by

Jumlah wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan awam meningkat kepada RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya juga percaya besar kemungkinan lebih banyak wang disimpan dalam bank di negara jiran.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berkaitan itu.

"Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, petang Rabu.

Mengenai dua lagi individu yang ditahan pada Rabu, Azam berkata, salah seorang bergelar Datuk yang juga abang kepada timbalan pengarah jabatan itu yang berusia 55 tahun.

Turut ditahan adalah akauntan berusia 50 tahun.Jumlah wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan awam meningkat kepada RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya juga percaya besar kemungkinan lebih banyak wang disimpan dalam bank di negara jiran.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berkaitan itu.

"Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, petang Rabu.

Mengenai dua lagi individu yang ditahan pada Rabu, Azam berkata, salah seorang bergelar Datuk yang juga abang kepada timbalan pengarah jabatan itu yang berusia 55 tahun.

Turut ditahan adalah akauntan berusia 50 tahun.

Semua empat suspek kes melibatkan RM3.3 bilion dana projek Pusat itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, rampasan wang tunai jutaan ringgit itu melibatkan beberapa lokasi seperti di rumah, bank dan pejabat suspek.

“Setiap daripada sasaran yang kita tahan itu, setidak-tidaknya tiga lokasi. Termasuk peti besi, rumah, pejabat dan ada juga melibatkan peti besi di bank,” katanya.

Pada Selasa dilaporkan dua suspek berusia 51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9.15 pagi Selasa kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.

Azam berkata,  sidang media berhubung kes berkenaan akan diadakan di Kota Kinabalu petang ini.

Menurutnya, SPRM akan meneruskan siasatan dengan lebih agresif dan menjangkakan lebih ramai lagi ditahan.

Kedua-dua pegawai kanan berjawatan pengarah dan timbalan pengarah itu mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010 dan telah memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Jumlah harta kekayaan yang dikumpul mencecah RM50 juta hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai bermula sejak 2010.

- mSTAR

Tan Sri Abu Kassim - Personaliti pencegahan rasuah yang disegani

by


Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos ini, merupakan seorang personaliti yang disegani di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Menerajui kepimpinan SPRM pada 1 Jan 2010, Abu Kassim telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.

Abu Kassim, 55, memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009.

Bermula sebagai seorang pegawai penyiasat, beliau kemudiannya menaiki tangga korporat agensi berkenaan sehingga memegang jawatan sekarang.

Pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Ketua Badan Pencegah Rasuah cawangan Sibu, Sarawak dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi dan Penyelarasan, BPR pada tahun 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah BPR negeri Perak (2000) dan Pulau Pinang (2003) dan Pengarah Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2005.    

Abu Kassim kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Integriti di Amanah Raya Malaysia dan pada tahun 2007, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya 1 SPRM.

Nama Abu Kassim juga tidak asing di peringkat antarabangsa kerana beliau merupakan wakil Asia dalam Kumpulan Pakar-pakar Interpol mengenai Rasuah yang diadakan di Lyon, Perancis serta ahli dalam Interpol of Experts on Corruption  (IGEC) sejak 1997.

Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan Kod Etika bagi Penguatkuasaan Undang-undang-Panduan Amalan Terbaik bagi Anggota Interpol dan Piawaian Global bagi Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Polis.     

Abu Kassim juga adalah Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan pada 2012, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa, yang berpusat di Vienna.

Pada 30 November 2012, beliau dilantik sebagai Anggota Lembaga Gabenor Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi penggal selama enam tahun.

Pada Februari 2011, Abu Kassim dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York.

Beliau yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan, termasuk kepimpinan pemikir, kepimpinan perniagaan, budaya korporat serta pelaburan dan penyelidikan.

Setelah tamat jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos, Abu Kassim akan meneruskan kariernya seabgai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. 

- Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90