Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label stpm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label stpm. Papar semua catatan

Anak pemandu teksi raih 4A STPM

by


Terpaksa membahagikan masa membantu ibu menjahit pakaian selepas sesi persekolahan dan pada hujung minggu, tidak menghalang Erin Ezayu Emylia Abdul Mutalib memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Erin Ezayu Emylia, 20, adalah antara 43 pelajar terbaik Negeri Sembilan dalam STPM 2022. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin ini berkata, ibunya, Norlela Abdul Latif, 53, adalah seorang suri rumah dan mengambil upah menjahit baju bagi menampung pendapatan dan keperluan keluarga.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, bapanya Abdul Mutalib Mohd Noor, 55, pula bekerja sebagai pemandu teksi sehingga ke kawasan Petaling Jaya dan ibu negara.

Saya menggunakan masa lapang, terutama selepas sesi persekolahan dan hari cuti untuk membantu ibu bagi memudahkan beliau menyiapkan tempahan.

"Namun begitu, tugasan itu tidak menjadi halangan untuk saya ulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah walaupun kadang kala bangun seawal jam 3 pagi untuk ulang kaji pelajaran.

"Saya hadapinya dengan baik dan tenang kerana di situ ada keberkatannya dan kesudahannya berjaya mendapat keputusan yang baik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman STPM di Dewan Kolej Tingkatan Enam Forest Height, di sini, hari ini.

Erin Ezayu Emylia berkata, dia belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang itu bagi tujuan mengubah nasib keluarga, malah kedua-dua orang tuanya menitiskan air mata kegembiraan apabila mendapat keputusan berkenaan.

Dia yang tinggal di Taman Indah Tampin mengakui bertindak nekad menduduki STPM selepas hanya mendapat 5A pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada peringkat awal memang rasa susah, tetapi saya kuatkan semangat dan terus fokus kepada pelajaran dengan mendapatkan bimbingan daripada guru.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat apa yang saya inginkan. Saya berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan komunikasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Semakan kurikulum Tingkatan Enam

by

 


Langkah penjenamaan semula Tingkatan Enam dengan sasaran menambah baik sukatan mata pelajaran yang ditawarkan dilihat tindakan tepat sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan negara.

Apatah lagi, semakan itu seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini akan dibuat supaya ia selaras dengan sukatan A-Level yang dikelolakan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom (UK).

Hal ini tentu sahaja demikian kerana kerana Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan CAIE itu sejak 1982.

Menurut kementerian, semakan sukatan mata pelajaran berkenaan dijangka selesai pada 2025 dan akan mula diperkenalkan pada Semester Satu 2016.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Syaubari Othman, berkata jika dilihat, sistem pendidikan Tingkatan Enam sudah mengalami perubahan sejak ia beralih daripada kaedah STPM Terminal kepada STPM baharu (modular) sekitar 2012.

Katanya, sistem modular adalah kaedah yang sama dipraktikkan di universiti iaitu membabitkan sesi pengajian tiga semester.

Menerusi sistem itu, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diambil daripada tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali, manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir pengajian.

Bagaimanapun tegas Mohd Syaubari, terdapat keperluan meningkatkan taraf Tingkatan Enam seiring dengan A-Level. Hal ini disebabkan A-Level mendapat pengiktirafan yang diakui oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia.

"A-Level terkenal dengan standard tinggi dalam kursus-kursus peringkat prauniversiti dan diiktiraf secara meluas oleh universiti di seluruh dunia.

"Pensijilannya bukan sahaja diiktiraf di UK tetapi ia juga diterima banyak negara maju yang lain termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura," katanya.

Justeru katanya, amat penting untuk menstrukturkan semula STPM selari dengan A-Level, sekali gus memberikan pilihan yang sangat luas untuk pelajar menyambung pelajaran.

Tambahnya, penambahbaikan itu juga diyakini menyediakan kepelbagaian pengetahuan yang mendalam memandangkan kandungan pembelajarannya lebih terperinci dan berfokus.

Hal ini tegasnya sangat penting bagi memastikan setiap pelajar Tingkatan Enam dapat menguasai ilmu atau silibus seiring dengan apa yang akan dipelajari di peringkat universiti nanti.

"Apa yang perlu difahami pelajar lepasan SPM atau Tingkatan Enam itu sendiri, A-Level adalah program yang dilaksanakan untuk prauniversiti. Ia memang ditawarkan di Malaysia berdasarkan kerangka sistem pendidikan di UK atau GCE Advanced Level.

"Umumnya pelajar diberikan pilihan untuk mengambil kursus ini selepas menamatkan SPM dan sebelum mengikuti kursus di universiti," katanya.
Katanya, jika sebelum ini ramai pelajar tidak berminat atau beranggapan Tingkatan Enam sebagai 'susah', hal sedemikian mungkin tidak lagi terjadi berdasarkan peluang lebih luas untuk lulusan STPM termasuk mampu menjadi tiket menyambung pengajian ke luar negara.

Tambah Mohd Syaubari, anjakan paradigma sebegini penting seiring dengan usaha KPM untuk menjenamakan semula pengajian di peringkat Tingkatan Enam.

Ibu bapa katanya perlu melihat Tingkatan Enam sebagai satu lagi alternatif untuk melanjutkan pengajian selari dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan pada masa kini.

Sementara itu, Timbalan Naik Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ismi Arif Ismail, berpandangan jika kurikulum Tingkatan Enam disemak semula ia perlu mengambil kira beberapa perkara.

Antara paling utama katanya, keperluan memahami kehendak industri selain elemen yang menyediakan kepada kesediaan ke arah kerjaya (career readiness).

Beliau berkata, justeru langkah penyelarasan dengan CAIE adalah baik kerana ia akan memastikan standard Tingkatan Enam di Malaysia adalah bertaraf antarabangsa.

"Ini akan memudahkan pelajar kita diterima untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi di seluruh dunia.

"Hal itu tentu saja atas kapasiti kualiti antarabangsa yang diselaraskan dalam semakan kurikulum tahap ini.

"Namun beberapa perkara lain perlu terus ditingkatkan termasuklah menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) bagi menyediakan pelajar yang lebih kreatif dan inovatif," katanya.

Untuk rekod, ketika ini sistem STPM dijalankan dengan pembahagian tiga penggal dengan setiap satunya mengambil masa sekitar enam bulan. Calon wajib menduduki peperiksaan STPM pada hujung pengajian semester ketiga.

Bagi setiap semester pula, pelajar akan menduduki peperiksaan dengan keputusannya diumumkan pada setiap awal penggal. Jika murid tidak memperoleh keputusan memuaskan, mereka boleh mengambil peperiksaan ulangan untuk memperbaiki gred.

Kesemua markah dari tiga penggal akan dikumpulkan dan dikira pada akhir ketiga-tiga peperiksaan untuk mendapatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) pada peperiksaan STPM sebenar.

Sumber : Berita Harian

YouTube bantu Aishatussufiiah cemerlang STPM

by

 


Platfrom YouTube dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Zulkifli Muhammad, di sini untuk mencari ilmu tambahan sehingga membantunya cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021.

Aishatussufiiah Badrol Hisham, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67 dalam STPM yang diumumkan hari ini, berkata kejayaan dalam peperiksaan itu bukan dikecapi dengan mudah disebabkan penularan COVID-19 sebelum ini.

"Di samping menumpukan perhatian ketika belajar bersama guru dan rakan-rakan di kelas, saya juga membuat ulangkaji serta menjawab soalan-soalan STPM tahun-tahun sebelumnya.

"Saya juga menjadikan medium media sosial iaitu YouTube untuk menambah ilmu dan membuat nota ringkas selepas mengulang kaji setiap subjek," katanya.

Aishatussufiiah berharap dapat menggapai cita-cita mengikut jejak ibu bapa sebagai pendidik dan diterima memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Pada mulanya memang agak kecewa dan sedih selepas sasaran untuk dapat PNGK 4.00 tidak tercapai. Namun, saya tetap bersyukur kerana sudah berusaha bersunguh-sunguh membuat persiapan dan menjawab peperiksaan.

"Saya berharap dengan keputusan ini, saya mampu merealisasikan impian dan cita-cita menjadi pendidik sama seperti ibu bapa saya," katanya yang memilih Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dan sudah menjalani temuduga di UPSI pada bulan lalu.

Bapanya, Badrol Hisham Zainol Abidin adalah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki di Slim River, manakala ibu, Mazidah Abdul Majid mengajar di SMK Dato' Zulkifli Muhammad, kedua-duanya guru Bahasa Melayu.

"Ibu bapa saya mengajar subjek Bahasa Melayu, jadi saya juga ingin menjadi guru subjek berkenaan," katanya.

Sumber : Berita Harian

MPM umum tarikh baharu peperiksaan Semester 2 dan 3 STPM

by

 


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) hari ini umumkan tarikh peperiksaan Semester 3 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan juga Ulangan Semester 2 STPM 2021 baharu.

MPM dalam satu kenyataan berkata peperiksaan Semester 3 STPM 2021, bagi tarikh 18, 19, 24, 25 dan 26 Mei 2022 akan dipinda kepada 25, 26 Mei 2022 dan 13, 14, 15 Jun 2022.

Peperiksaan ulangan Semester 2 STPM 2021 yang bermula pada 13,14,15 dan 16 Jun 2022 pula akan dipinda kepada 16, 20, 21 dan 22 Jun 2022.

Kalendar dan jadual waktu peperiksaan yang telah dikemas kini pada 9 Mei 2022 boleh dimuat turun melalui portal rasmi MPM diwww.mpm.edu.my

Pertanyaan boleh diajukan melalui e-mel stpm@mpm.edu.my ataupun menghubungi di talian 03-61261600 sambungan 1661/1662/1663/1664/1665.


Keputusan STPM diumum 1 Julai 2021

by

 

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 akan diumumkan pada 1 Julai ini, demikian menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka pada tarikh berkenaan mulai 12 tengah hari melalui semakan dalam talian di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM jarak nombor kad pengenalan jarak angka giliran dan menghantarnya ke 68886 mulai 11 pagi 1 Julai hingga 12 tengah hari pada 9 Julai ini.

"MPM juga akan menghantar keputusan ke e-mel calon pada 1 Julai mulai 11 pagi," menurut kenyataan itu.

Bagi calon yang tidak mempunyai capaian Internet, MPM berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah akan memaklumkan kaedah sesuai selepas golongan tersebut dikenal pasti.

Seramai 47,008 calon menduduki STPM yang diadakan mulai 8 Mac lepas. 

Sumber : BERNAMA

 

Keputusan STPM 2016 Diumum Pada 28 Februari 2017

by


Keputusan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 akan dikeluarkan pada 28 Februari 2017, kata Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Beliau berkata calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari sementara calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT<jarak><No Kad Pengenalan> dan menghantarnya ke 15888.

"Ia juga boleh disemak serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12.00 tengah hari pada tarikh berkenaan," kata dalam satu kenyataan.

Mohd Fauzi berkata seramai 43,325 calon menduduki peperiksaan di 738 buah pusat di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 42,845 orang (99.10 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, 264 orang (0.61 peratus) calon sekolah swasta, 114 orang (0.26 peratus) calon persendirian individu dan 12 orang (0.03 peratus) calon sekolah kerajaan negeri.

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90