Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label tragedi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tragedi. Papar semua catatan

Tragedi tanah runtuh Batang Kali

by


 

Seramai 51 individu dewasa dan 30 kanak-kanak mendaftar untuk bermalam di tapak perkhemahan ​​​​di ​Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, yang mengalami tanah runtuh, awal 16 Disember 2022.

Perkara itu dinyatakan individu bertanggungjawab di tapak perkhemahan terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Chang.

"Jumlah itu terdiri daripada mereka yang telah mendaftar di tapak perkhemahan," katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jik ada kanak-kanak berusia bawah empat tahun di tapak perkhemahan kerana mereka tidak perlu mendaftar dan hanya kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun perlu mendaftar.

Chang berkata, mereka yang berkhemah kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga dan tidak membabitkan kumpulan pelajar atau universiti.

Laporan awal media menyebut kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik berkenaan.

Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 53 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala sembilan orang disahkan maut dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. – BERNAMA

Tragedi Halloween di Seoul seperti 'permainan domino'

by

 


Sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dan 156 lain cedera dalam rempuhan maut di Itaewon, Seoul, selepas sekumpulan besar anak muda yang menyambut pesta Halloween terperangkap dan tersepit di lorong sempit.

Pekerja kecemasan dan pejalan kaki dilihat giat melakukan bantuan pernafasan ke atas mangsa yang terbaring selepas dihempap ​​di daerah ibu kota Itaewon, malam tadi.

Ketua jabatan bomba Yongsan Seoul, Choi Seong-beom, berkata angka kematian mungkin meningkat dan jumlah mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan kritikal masih belum dapat dipastikan.

Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak pandemik bermula.

Ia selepas kerajaan Korea Selatan melonggarkan sekatan COVID-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Itaewon adalah kawasan berhampiran bekas ibu pejabat tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan sebelum berpindah pada 2018 dan merupakan kawasan mesra ekspatriat yang terkenal dengan bar, kelab dan restoran terkini.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan orang ramai memasuki lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Seorang mangsa yang terselamat berkata orang ramai mula jatuh dan menghempap satu sama lain "seperti permainan domino" selepas ditolak.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim, berkata mereka terperangkap selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan.

Kebanyakan mereka mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas, menurut akhbar Hankyoreh.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Lee Chang-kyu, berkata beliau melihat kira-kira lima hingga enam lelaki saling menolak antara satu sama lain sebelum seorang atau dua mula terjatuh.

Menurut seorang pengunjung ke Itaewon, Hwang Min-hyeok, beliau terkejut melihat deretan mayat berhampiran hotel.

Katanya, pekerja kecemasan pada mulanya panik, menyebabkan pejalan kaki yang berada di kawasan itu bergelut untuk memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa yang cedera.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, berkata beliau berjaya mengelak daripada dipijak dengan bertindak masuk ke dalam sebuah bar yang pintunya terbuka di lorong itu.

Seorang wanita berusia 20-an dikenali sebagai Park, berkata beliau dan yang lain berdiri di tepi lorong manakala mereka yang terperangkap di tengah lorong tidak dapat melarikan diri.

Ketua bomba, Choi, berkata mayat dihantar ke hospital atau gim, di mana ahli keluarga dapat mengenal pasti mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berusia dalam lingkungan 20-anPerdana Menteri Britain, Rishi Sunak dalam ciapannya di Twitter, berkata "berita mengerikan dari Seoul malam ini.

"Ingatan kami bersama mereka yang sedang memberi tindak balas kepada situasi itu dan semua rakyat Korea Selatan pada saat yang menyedihkan ini," katanya.

Kali terakhir Korea Selatan berdepan insiden maut membabitkan golongan muda adalah pada April 2014.

Seramai 304 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah, maut dalam insiden feri karam.

Insiden mendedahkan kegagalan dan kelonggaran peraturan keselamatan dan sebahagiannya disalahkan kepada kargo yang berlebihan dan diikat dengan teruk selain kru yang kurang terlatih untuk berdepan situasi kecemasan.

Ia juga adalah bencana besar kedua di Asia dalam tempoh sebulan.

Pada 1 Oktober lalu, polis di Indonesia melepaskan gas pemedih mata pada perlawanan bola sepak, menyebabkan rempuhan yang mengorbankan 132 orang ketika penonton cuba melarikan diri.

Tragedi malam tadi juga adalah bencana paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan. Pada 2005, 11 orang terbunuh dan kira-kira 60 yang lain cedera dalam konsert pop di selatan bandar Sangju. 

Sumber : AP

Penjaga gajah maut dipijak Tenang

by

 

Rutin harian seorang penjaga gajah warga Thailand di Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) dekat Hulu Terengganu bertukar tragedi apabila dia maut setelah diserang dan dipijak mamalia tersebut.

Mangsa, Anucha Tangsakun, 38, ditemui mati dengan kesan kecederaan parah pada bahagian perut yang terbelah dan paha tidak jauh dari kawasan seekor gajah bernama Tenang diikat pada pukul 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, Tangsakun dilihat rakan sekerjanya dikenali sebagai Sangsai melakukan kerja-kerja pembersihan, memberi makan dan membawa gajah mandi di sungai mulai pukul 7.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa diserang dan dipijak oleh seekor gajah bernama Tenang yang berusia 22 tahun yang dipercayai mengalami gangguan emosi sejak dua minggu lalu.

“Sewaktu kejadian, mangsa telah melepaskan ikatan rantai pada kaki Tenang untuk membawanya mandi.

“Tenang yang tiba-tiba ‘naik minyak’ telah menyerang lelaki itu dengan menusuk gading ke bahagian perut dan paha kiri mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

Tragedi Tahfiz: Kebakaran Bukan Kerana Litar Pintas - Bomba

by

Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini bukan berpunca daripada litar pintas, kata pengarahnya Khirudin Drahman.

Beliau berkata hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu adalah di dalam keadaan baik.

"Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan 'tendang' dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

"Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, Khamis.

Khirudin berkata pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

"Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap," katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada  5.15 pagi tadi.

- Bernama


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90