Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label ydpa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ydpa. Papar semua catatan

Yang di-Pertuan Agong ke-17

by

 



Istana Negara hari ini memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Raja Permaisuri Agong.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim, memaklumkan penggunaan nama rasmi bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Beliau turut memaklumkan, nama rasmi bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sultan Ibrahim hari ini selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara yang baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT memohon kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019. 

Sumber : BERNAMA


B

Ads byBeliau turut memaklumkan, nama rasmi bagi Raja Permaisuri Agong ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Sultan Ibrahim hari ini selamat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalamacara penuh adat istiadat di Istana Negara.


Agong minta rakyat bertenang, jangan buat spekulasi

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat untuk bertenang dan tidak panik dengan situasi semasa membabitkan isu pentadbiran negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda turut menasihatkan rakyat untuk bersabar sementara menunggu keputusan Raja-Raja Melayu mengenai cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, baginda turut mengingatkan rakyat untuk tidak mencetuskan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

"Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan berkenaan.

"Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadil memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat, untuk memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri.

Katanya, rundingan itu susulan pertemuan baginda dengan Perdana Menteri selama kira-kira satu jam setengah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, jam 5.00 petang semalam.

Dalam pertemuan itu, katanya, Muhyiddin mempersembah taklimat cadangan kepada Al-Sultan Abdullah mengenai cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya, pagi semalam.

"Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19. Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Spekulasi mengenai kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelakkan pilihan raya mula tercetus susulan Mesyuarat Khas Kabinet pagi semalam, yang disusuli pertemuan Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sumber : Berita Harian

 

Sultan Muhammad V Angkat Sumpah Yang di-Pertuan Agong 15

by


Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, pada 14 Oktober lalu, bagi tempoh 5 tahun bermula 13 Disember 2016.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, 12 Disember 2016.

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua baginda.

Mesyuarat Khas itu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.
Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya, Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Najib kemudian membaca perisytiharan Sultan Muhammad V mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua 9 raja Melayu atau wakil baginda serta 3 yang dipertua negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri besar, ketua menteri, menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri Kabinet serta orang kenamaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.





Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90