Top Ad 728x90

Hati-Hati Dengan Penggodam E-Mel

by


Aktiviti penipuan telah menyebabkan pelakunya 'terlepas' bersama jutaan ringgit dengan hanya menggodam e-mel.

Dengan cara memintas pertukaran e-mel, mereka menipu sasaran supaya menghantar wang ke akaun bank mereka, bukannya kepada penerima yang berhak dan sepatutnya.

Seorang ahli perniagaan dari negara jiran kerugian RM40,000 selepas e-mel beliau digodam oleh penjenayah siber.

Beliau sepatutnya menerima wang untuk eksport 'komoditi yang diproses' ke Asia Barat, tetapi pembayaran berakhir di dalam sebuah akaun bank Malaysia.

Beliau yang panik, terus menghubungi rakannya, seorang pereka tempatan, Bugs Tan untuk mendapatkan bantuan.

"Akaun bank dan butiran invois telah berubah. Kawan saya mahupun pembeli tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena.

"Pembayaran itu telah dibuat kepada bank Malaysia seperti yang diarahkan dalam e-mel. Tetapi butir-butir akaun itu berbeza dengan apa yang kawan saya telah hantar. Dia menghubungi saya pada 10 Ogos, bertanya jika saya boleh membantu kerana saya tinggal di sini," katanya.

Apabila Tan menyemak semula e-mel yang digodam, beliau mendapati bahawa alamat pemilik akaun bank di Malaysia itu menunjukkan rumah seseorang di Klang.

Tan cuba untuk membuat laporan polis tetapi diberitahu bahawa rakannya perlu datang ke Malaysia membuat laporan itu sendiri.

"Saya hanya mahu memberi amaran kepada orang ramai bahawa menggunakan e-mel adalah tidak selamat. Berhati-hati. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada rakan saya," katanya.

Aktiviti menggodam e-mel hacking semakin meningkat sejak dua tahun lalu, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan CyberSecurity Malaysia (CSM).

Jumlah insiden direkodkan oleh polis telah meningkat dari hanya dua kes pada tahun 2014 kepada 73 pada tahun lalu. Jumlah kerugian pula meningkat dari RM974,832 pada 2014 kepada RM39 juta pada 2015.

"Antara Januari dan Ogos, terdapat 29 kes dengan kerugian RM11 juta," Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Senior Asisten Komisioner Roslan Abdul Wahid memberitahu Sunday Star.

Beliau berkata penggodam memintas pertukaran e-mel antara dua pihak, biasanya apabila pembayaran hampir dibuat.

"Sebagai contoh, A sepatutnya membayar kepada B. C, sebagai penjenayah, menyamar sebagai B menggunakan alamat e-mel yang hampir sama untuk berkomunikasi dengan A.

"A kemudiannya akan tertipu dengan membayar kepada C, bukan B," kata Roslan sambil menambah penggodam akan melakukan kajian ke atas mangsa sebelum mereka bertindak.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang terbabit terdiri daripada warga Nigeria yang menyalahgunakan visa yang membolehkan mereka tinggal atau belajar di Malaysia.

Selain menjadikan warga asing dan penduduk tempatan sebagai sasaran, mangsa mereka juga mensasarkan syarikat-syarikat besar.

"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang didapati bersekongkol dengan penggodam itu," kata Roslan.

Beliau berkata, penipu menggunakan sejenis perisian atau malware, biasanya dijual di China atau Rusia yang dapat membantu mereka.

Beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan melalui e-mel.

"Sentiasa semak nombor akaun bank dengan penerima dan pastikan anda berurusan dengan orang yang tepat," katanya.

CSM juga telah menyaksikan peningkatan dalam laporan e-mel yang digodam iaitu dari 25 kes pada 2014 kepada 62 kes pada 2015.

Dari Januari hingga Julai, telah ada sebanyak 36 aduan, kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata beberapa penipu menyamar sebagai pembekal perniagaan dan menghantar e-mel kepada mangsa,  memberitahu tentang nombor akaun bank baharu untuk pembayaran. Ini berlaku selepas mangsa menerima invois daripada pembekal.

E-mel tersebut tidak kelihatan mencurigakan kerana nama domain yang hampir sama dan pembekal biasanya berada di luar negara, manakala syarikat yang menjadi mangsa biasanya adalah syarikat tempatan, katanya.

Gagal untuk log masuk ke akaun e-mel, maklumat akaun  berubah, data dalam peti masuk dipadam atau login dari lokasi yang tidak dikenali, tidak menerima e-mel yang dijangka adalah tanda-tanda akaun email anda telah digodam, katanya.

Untuk membuat laporan, e-mel kepada cyber999@cybersecurity atau mycert@mycert.org.my

Pemilik Kereta Perlu Tahu Kos Baiki Kereta

by


Pemilik kereta disaran agar mendapatkan sebut harga daripada pengusaha bengkel terlebih dahulu sebelum kenderaan mereka dibaiki.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Wan Rufaidah Wan Omar berkata ia adalah bagi mengelak berlaku penipuan harga.

Bengkel kereta perlu diminta menyediakan sebut harga yang lengkap berkaitan pembaikan yang hendak dilakukan, anggaran kos termasuk kos tenaga manusia serta anggaran masa yang perlu diambil untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

Adalah juga menjadi hak pengguna untuk meminta maklumat daripada pengusaha bengkel tentang kerosakan yang dikenal pasti sebelum bersetuju membenarkan kereta mereka dibaiki, katanya dalam program Dalam Radar terbitan Radio Bernama.

Beliau berkata pemilik juga sepatutnya mendapat penjelasan terperinci berkaitan komponen yang telah ditukar sama ada ia adalah tulen, baharu, terpakai atau dikitar semula.

Wan Rufaidah menjelaskan sebanyak 85 tuntutan berkaitan kes penipuan pihak bengkel difailkan di TTPM setakat 31 Julai lalu yang nilai tuntutannya berjumlah kira-kira RM446,000.

Beliau berkata pihaknya akan memfailkan kes yang nilai tuntutan barangan atau perkhidmatan tidak melebihi daripada RM25 ribu dan kesnya tidak melebihi tiga tahun dari tarikh kejadian kes. 

-  BERNAMA

Jawatan Kosong Kerajaan Negeri Sarawak - 2 Oktober 2016

by


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak mempelawa pemohon warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan, yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat pelantikan bagi mengisi kekosongan untuk jawatan seperti berikut :
1. Arkitek J41
2. Jurutera J41
3. Pegawai Tadbir N41
4. Pegawai Penguatkuasa KP41
5. Pegawai Penilaian W41
6. Pegawai Kesihatan Persekitaran U41
7. Penolong Pegawai Penilaian W29
8. Penolong Pegawai Pertanian G29
9. Penolong Pegawai Penguatkuasa KP29
10. Pelukis Pelan (Kejuruteraan Awam) JA19
11. Pembantu Kemahiran H19

Pemohon yang berminat mengisi jawatan kosong Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak perlu memohon secara online: http://erecruitment.sarawak.gov.my/

Tarikh Tutup Permohonan : 2 Oktober 2016

Jawatan Kosong Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) - 29 Sep 2016

by

Jawatan Kosong Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

1. Pegawai Tadbir N41
2. Pegawai Teknologi Maklumat F41
3. Pegawai Sains C41
4. Pegawai Pertanian G41
5. Penolong Pegawai Tadbir N29
6. Penolong Pegawai Teknologi Maklumat F29
7. Penolong Pegawai Sains C29
8. Penolong Pegawai Pertanian G29
9. Penolong Pegawai Veterinar G29
10. Penolong Pegawai Latihan Vokasional Dv29
11. Pembantu Setiausaha Pejabat N19
12. Pembantu Tadbir (Perkeranian/operasi) N19
13. Pembantu Kemahiran H19
14. Pembantu Operasi N11
15. Pembantu Awam H11


Borang Permohonan : https://www.unisza.edu.my/

Tarikh Tutup Permohonan : 29 September 2016

MH370 : Pesawat Terhempas Secara Menjunam

by





Pasukan penyiasat Australia mengesahkan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370 terhempas secara menjunam berdasarkan keputusan analisis terhadap serpihan sayap yang ditemukan di Tanzania.

Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley berkata, berdasarkan analisis pada bulan lalu, pihaknya percaya serpihan sayap itu tidak berada pada kedudukannya ketika pesawat berkenaan terhempas.

Malah katanya, keputusan analisis tersebut mengenepikan teori yang mendakwa pesawat Boeing 777 berkenaan mendarat secara terkawal yang sepatutnya menyebabkan sayap kapal terbang itu berada dalam keadaan baik.

"Teori pesawat itu menjunam dengan laju juga menyokong maklumat satelit yang menunjukkan ketinggian MH370 turun secara mendadak.

"Dengan dua keputusan analisis tersebut, teori pesawat itu mendarat secara terkawal atau mengelongsor di atas permukaan laut wajar ditolak," katanya kepada agensi berita Australian Associated Press (AAP).

Pada 15 September 2016, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan serpihan yang ditemukan di Kepulauan Pemba dekat kawasan perairan Tanzania pada Jun lalu merupakan milik pesawat MH370.

Beliau turut mengesahkan sebanyak 22 objek yang mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 telah ditemukan setakat ini.

Pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac 2014 semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi.

- mSTAR

Haron Din Meninggal Dunia di California

by


Jenazah Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California kira-kira pukul 8.57 pagi Sabtu.

Terdahulu, jenazah disempurnakan di Masjid An Noor, Santa Clara, kira-kira pukul 2.40 pagi waktu Malaysia.

Anak perempuan Haron, Dr Huda Haron menerusi laman Facebook rasmi milik bapanya itu memaklumkan jenazah selamat disembahyangkan di Masjid Persatuan Komuniti Islam, California kira-kira pukul 4.25 pagi Sabtu.

"Selesai solat jenazah yang diimamkan oleh adinda tersayang Hamdi Haron selaku ketua keluarga. Ramai jemaah Maashaallah... jemaah solat jumaat 3 lapis( kami sesi kedua). Alhamdulilaah.

"Berebut-rebut jemaah datang memeluk dan menyantuni takziah pada kami.Terpana!!!Tidak sangka.

"Tidak pernah bersua.. tidak pernah bersapa... tidak kenal siapa. Cumaa ukhuwwah fillah. Hangatnya persaudaraan disini," tulisnya.

Dr Huda turut berkongsi beberapa keping gambar suasana di dalam masjid dan perjalanan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

"Baa... Ini kali terakhir kita berjalan bersama baba dialam ini Baa.. Indah sungguh pemandangan dikiri kanan menuju ke tempat rehat baba. Allah pilih disini Baa.

"Persis memori tika menikmati keindahan bukit Uhud... seolah bukan di bumi California. Seakan kami di bumi anbiya," tulis Dr Huda.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford di San Francisco, California pada pagi Jumaat selepas koma akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, solat jenazah ghaib akan diadakan pada pukul 9 pagi Sabtu di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

- mSTAR

Beca Tarikan Pelancongan di Ipoh

by


Perkhidmatan beca akan diperkenalkan semula di Ipoh sebagai tarikan pelancongan terbaharu sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata kali terakhir perkhidmatan beca ada di Ipoh adalah pada 2005 dan kali ini beca yang disediakan adalah unik kerana ia telah dimodenkan.

"Jika perkhidmatan ini mendapat sambutan daripada pengunjung di Ipoh, kami bercadang memperkenalkannya di Taiping kerana bandar itu memiliki bangunan warisan sejarah selain terdapat Taman Tasik Taiping.

"Ketika ini kebanyakan hotel turut memberikan perkhidmatan itu secara percuma sekiranya menginap di hotel mereka," katanya selepas melancarkan perkhidmatan tersebut di Riverwalk di sini, Ahad.

Perkhidmatan beca itu disediakan M Bike Sdn Bhd kepada pengunjung yang ingin bersiar di lokasi menarik di sekitar bandaraya Ipoh.

Pengarahnya Camees Foong berkata perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Sept lalu itu memperkenalkan tiga pakej iaitu satu perjalanan, laluan warisan dan sewa khas.

"Bagi pakej satu perjalanan, pengunjung akan menaiki beca dari satu lokasi ke satu lokasi lain dengan bayaran RM6 manakala laluan warisan yang berharga RM30 akan melalui 26 lokasi pelancongan di Ipoh selama 45 minit.

"Pakej sewa khas pula akan membawa pengunjung ke mana-mana destinasi dengan jarak 10 kilometer hingga 15 kilometer dengan kadar bayaran RM50," katanya.

Menurut Foong, perkhidmatan dari pukul 9 pagi hingga 12 malam setiap hari itu, bermula dari tiga lokasi iaitu Kinta Riverfront, Stesen Keretapi Ipoh dan Restoran Plan B.

Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin berkata Kinta Riverfront yang kini dikenali sebagai Tourism Riverside, menyediakan beberapa kedai berunsurkan pelancongan seperti kedai menjual cenderamata.

"Terdapat juga kedai Persatuan Pelukis dan Persatuan Pemandu Pelancong yang menyediakan pusat penerangan berkaitan destinasi pelancongan di Perak.

"Selain itu, kita menyediakan gerai makan dan persembahan buskers dan kebudayaan pada sebelah malam untuk menghiburkan pengunjung," katanya.

- mSTAR

Cuepacs Bantah Waktu Bekerja 6 Jam

by


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak menyokong cadangan pengurangan waktu bekerja kepada enam jam sehari.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, mereka yang bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan waktu kerja daripada lapan jam sekarang kepada enam jam hanyalah mereka yang malas.

"Tiada siapa yang bekerja lapan jam secara berterusan. Pekerja keluar untuk waktu rehat minum kopi atau keluar untuk mengambil anak pulang dari sekolah dan lain-lain. Oleh itu, Cuepacs membantah idea tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Kesatuan Anggota Kemas di sini, Ahad.

Idea waktu bekerja selama enam jam sehari dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Azih juga berkata beliau khuatir jika waktu bekerja selama enam jam itu dilaksanakan, ia akan menjejaskan pekerja yang dibayar mengikut jam kerana gaji mereka menjadi lebih rendah terutama dengan kos sara hidup yang semakin mahal.

"Kami berharap kerajaan akan mengkaji dengan teliti perkara itu dan jugha berharap waktu kerja tidak dikurangkan tetapi gaji dinaikkan," katanya.

Sementara itu, Azih berkata, Cuspacs juga berharap Kementerian Kewangan akan memansuhkan kontrak jangka pendek kerana ia menindas pekerja kerana mereka tidak layak untuk menikmati faedah seperti caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan (KWSP).

Azih berkata Cuepacs telah menerima banyak aduan daripada pekerja dan berpendapat bahawa ia tidak adil untuk mereka.

Kami berharap kontrak pekerja ditandatangani untuk minimum dua tahun dan ke atas bagi memastikan kebajikan mereka dan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil kira pandangan ini semasa pembentangan bajet akan datang, katanya.

- mSTAR

Gerhana Bulan Penumbra kali kedua tahun 2016 pada malam Sabtu

by

Rakyat Malaysia bakal menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra buat kali kedua tahun 2016 pada awal pagi Sabtu iaitu 17 September 2016.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), fenomena gerhana tersebut hanya akan dapat mula disaksikan apabila bulan mula memasuki penumbra pada pukul 12.55 pagi Sabtu, dan berada pada fasa maksimum apabila bulan berada di kawasan penumbra yang paling dalam pada 2.54 pagi.

"Fenomena gerhana bulan penumbra akan berakhir apabila keseluruhan bulan keluar sepenuhnya dari kawasan penumbra pada pukul 4.54 pagi.

"Secara am, fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi menghalang cahaya matahari dari jatuh ke atas permukaan bulan," menurut Angkasa dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut agensi itu, fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang pertama pada tahun ini adalah pada 23 Mac lepas. - Bernama


IKEA buka gedung ketiga di Johor Bahru

by



Gedung kelengkapan rumah yang berpangkalan di Sweden, Ikea akan membuka cawangan ketiganya di Malaysia iaitu di Taman Desa Tebrau dekat sini menjelang hujung tahun 2017.

Sebelum ini, dua gedung Ikea di Malaysia ialah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Ikea Asia Tenggara, Christian Rojkjaer berkata, pemilihan Johor Bahru dibuat atas faktor kerancakan pembangunan ekonomi di negeri ini terutamanya di wilayah Iskandar Malaysia.

“Gedung terbaharu ini akan dibina dengan saiz 46,713 meter persegi dengan nilai pelaburan mencecah RM592 juta.

“Pembukaan Ikea Tebrau ini juga akan membantu kami merealisasikan hasrat untuk melengkapkan kediaman sempurna dan mampu milik kepada penduduk negeri ini,” katanya pada majlis pecah tanah gedung terbaharu berkenaan di Johor Bahru.

- Kosmo!

Sultan Selangor diijabkabul dengan Norashikin Abdul Rahman

by


Sultan Selangor berkahwin dengan Norashikin Abdul Rahman

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabulkan dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Rabu lalu.

Sultan Sharafuddin yang berusia 71 tahun memilih Norashikin yang berperwatakan lemah lembut dan berumur 45 tahun sebagai isterinya.

Jarak usia baginda dengan isterinya yang berasal dari Kuala Lumpur ialah 26 tahun.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin dan Norashikin dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid.

Menurutnya, pernikahan tersebut disaksikan oleh Timbalan Mufti, Dr. Anhar Opir dan Al Fadil Imam Paduka Masjid Istana Diraja, Mohd. Rasid Mahful.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin selain bapa serta ahli keluarga pihak pengantin perempuan.

Terdahulu, Sultan Selangor pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal namun berpisah pada tahun 1988. Hasil perkahwinan itu, pasangan Diraja ini dikurniakan dua puteri bernama Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.
Setelah itu, baginda berkahwin dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah warga Amerika Syarikat pada tahun 1988 sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk berpisah pada 1997. Baginda mempunyai seorang putera bernama Tengku Amir Shah.

Norashikin penyampai berita RTM

Rakan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) menganggap isteri kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Norashikin Abdul Rahman sebagai seorang yang lemah lembut dan suka merendah diri.

Ketua Penyampai Berita Televisyen RTM, Fathil Hidayat Ghazali berkata, sikap Norashikin itu menyebabkan beliau mudah didekati dan disenangi terutamanya ketika bertugas mengendalikan Berita Nasional 8 di TV1.

“Penyampai berita dan pengacara memang ramai tetapi tidak semua mempunyai kualiti se­pertinya malah beliau juga mesra dan mudah bergaul dengan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Fathil Hidayat memberitahu, Norashikin mengambil cuti selama dua minggu untuk menguruskan hal peribadi dan beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan berita RTM selepas pulang bercuti dari luar negara.

Seorang lagi rakan setugas, Wan Lukman Mohd. Fisol berkata, Norashikin seorang yang berpendirian tegas tetapi mudah mesra dengan rakan-rakan.

Katanya, sikap itu menyebabkan beliau mudah menjalin kerjasama sepanjang dua tahun mereka membaca berita secara bersama.

- Kosmo! Sep 2, 2016

Hari Raya Korban / Aidiladha 1437 Hirah Pada 12 Sep 2016

by


Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 12 September ini, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd. Aseral Jusman mengumumkan malam ini (1 September 2016).

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah 1437 Hijrah ialah pada Sabtu, 3 September 2016.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 12 September 2016," katanya ketika mengumumkannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

- Bernama



Sijil Cuti Sakit Palsu Dijual Di Facebook Pada Harga RM30

by


Selaras dengan perniagaan dalam talian yang semakin berkembang, wujud satu sindiket yang menawarkan kemudahan membeli sijil cuti sakit (MC) melalui media sosial kepada pelanggan.

Iklan aktiviti palsu itu dibuat secara terang-terangan, di mana pelanggan yang berminat perlu membayar RM30 untuk MC tersebut dan ia akan dihantar menggunakan PosLaju dalam masa sehari.

Kementerian Kesihatan telah menggesa majikan yang mengesyaki pekerja mereka mengambil cuti sakit menggunakan MC palsu atau yang dibeli supaya membuat laporan polis dan mengambil tindakan dalaman.

Sindiket ini, yang aktif di Facebook mengiklankan aktivitinya ini sebagai satu kumpulan yang mampu menawarkan 'hujung minggu lebih panjang bersama orang tersayang' dengan menjual sijil cuti sakit palsu.

Pelanggan diminta untuk memasukkan wang RM30 ke dalam akaun bank, yang dimiliki oleh proksi dan kemudian menghantar mesej menyatakan bilangan hari 'cuti sakit' yang diperlukan dan pilihan penyakit.

Sindiket itu mendakwa bahawa ia sentiasa mengekalkan tahap budi bicara yang tinggi.

"Jangan bimbang, kami menyembunyikan semua rekod kami, jadi, jika kena (tangkap) mereka juga tidak boleh cari rekod kami dan anda akan selamat. Sebab itulah kami hanya buat penghantaran melalui pos. Mereka tidak akan tahu klinik mana dan siapa pembelinya," kata sindiket itu membalas WhatsApp The Star.

MC yang dibeli oleh The Star itu sampai melalui pos dan dilihat datangnya dari sebuah klinik yang terkenal di Subang Jaya, ditandatangani oleh seorang doktor yang disahkan bekerja di situ.

Walau bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata kebanyakan MC palsu mungkin tidak datang dari klinik itu sendiri tetapi sebaliknya dipalsukan oleh sindiket.

"Ia nampak asli. Ada nombor siri dan nama doktor, tetapi ia boleh dipalsukan. Malah nama saya pun telah digunakan dalam MC palsu sebelum ini.

"Mungkin ia tidak datang daripada doktor sebenar tetapi oleh ahli sindiket. Apabila kami menyemak nombor siri pada sijil cuti sakit, kami dapati ia tidak wujud. Justeru ia di luar bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia dan kami perlu membuat laporan polis," katanya.

Dr Jeyaindran berkata kementerian bagaimanapun akan menjalankan siasatan ke atas klinik yang dinamakan dalam MC palsu yang diperolehi oleh The Star.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, kementerian menggesa agar aduan mengenai sindiket MC palsu itu dibuat di ckaps.aduan@moh.gov.my .

Menurut kenyataan itu, mereka yang membeli dokumen ini sebagai memberi implikasi negatif kepada produktiviti dan integriti negara.

- mSTAR

Kes Zika Pertama di Malaysia

by
Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus tersebut selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata wanita berusia 58 itu yang menetap di Bandar Botanic, Klang telah datang mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Klang selepas mula mendapat gejala ruam, seminggu selepas pulang dari negara jiran terbabit.

"Berdasarkan sejarah lawatan beliau ke Singapura dan anak perempuan yang berada di sana juga telah dijangkiti virus itu, maka wanita tersebut telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil ujian air kencing menunjukkan beliau telah dijangkiti Zika," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

Tambahnya, difahamkan wanita itu yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh kini berada dalam proses pemulihan.

Menurutnya, setakat ini negara jiran, Singapura telah mencatatkan lebih 115 kes jangkitan Zika dengan lima orang daripadanya adalah rakyat Malaysia yang dipercayai bekerja di sana.

Susulan itu, katanya, kementerian telah mengambil langkah kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat yang dilawati pesakit termasuk tempat pembiakan aedes, penggunaan larvisid dan semburan kabus.

"Kami juga membuat pemeriksaan dan memantau kenalan yang telah berhubung dengan beliau sama ada turut mengalami demam atau simptom Zika yang lain," katanya.

Ditanya adakah kementerian akan mengeluarkan nasihat larangan ke Singapura susulan perkara itu, Dr Subramaniam berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian dan jika ia dilakukan akan memberi impak lain.

"Terdapat kira-kira 200,000 rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari dan mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan seperti memakai krim penghalau nyamuk sekerap mungkin," katanya.

Dr Subramaniam berkata bagi kenderaan dari Malaysia ke Singapura atau sebaliknya dinasihatkan untuk menggunakan penyembur ubat nyamuk ke atas kenderaan mereka bagi mengelakkan nyamuk aedes pembawa penyakit tersebut merentasi ke negara ini.

"Selain itu, kami juga menasihatkan wanita mengandung yang mempunyai apa-apa soalan berkenaan Zika segera merujuk kepada pakar perubatan kerana risiko bagi bayi yang dikandungi untuk dijangkiti virus itu adalah tinggi," katanya.

Dr Subramaniam berkata buat masa ini terdapat antara 60 dan 70 pusat perubatan kementerian yang mempunyai kemudahan mengesan virus Zika di seluruh negara selain makmal perubatan swasta.

Ana Dahlia sah bergelar isteri buat kali ketiga

by

Pelakon filem Mantra, Ana Dahlia selamat bergelar isteri selepas diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Mohd. Ashraf Jurey dalam sebuah majlis sederhana di Hotel Perdana Taiping pada Ahad.

Ana Dahlia, 33, atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar yang me­ngenakan persalinan berona putih gading sah menjadi milik Mohd. Ashraf, 33, selepas pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Taiping, Roziman Tajuddin tepat pukul 10.48 pagi dengan hanya sekali lafaz. 

Pernikahan itu merupakan kali ketiga buat Ana dan kedua bagi Mohd. Ashraf yang merupakan anak kepada pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli. 



Lelaki 18 Tahun Nikah Ibu Tunggal Lima Anak

by

Bukan semua lelaki mahu berkahwin dengan wanita yang umurnya dua kali ganda melebihi usianya dan paling penting, mendapat restu keluarga.

Tetapi inilah yang berlaku di pekan Kuala Penyu di Sabah, apabila Mohd Sufie Alin yang berusia 18 tahun berkahwin dengan ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak, Dayang Sopiah Gusti, 42.

Gambar Mohd Sufie menyarungkan cincin emas di jari Dayang Sopiah semasa majlis akad nikah mereka telah tersebar di laman Facebook pada Jumaat, menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya pengantin lelaki ini lebih yakin dengan adanya restu keluarga terhadap hubungannya yang luar biasa ini.

Mereka cukup matang untuk membuat keputusan mereka sendiri, termasuk berkahwin," kata bapanya Alin@Matalin Utam, 52.

Menurut bapanya, kedua-dua mereka berkahwin dalam satu majlis kecil di sebuah masjid di daerah Beaufort pada Selasa, dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

Apa yang penting Sufie tidak ganggu isteri orang dan mereka ingin meneruskan hubungan mereka mengikut cara Islam.

Oleh itu, saya tidak mempunyai masalah dan menerima Sopiah menjadi pasangan kepada Sufie, yang telah ditakdirkan oleh Allah, katanya.

Walaupun terkejut mendengar tentang pilihan anaknya beberapa hari sebelum perkahwinan, Alin berkata usia bukanlah satu penghalang.

Saya sempat menasihati Sufie supaya menjadi suami yang bertanggungjawab kerana dia bukan sahaja perlu menjaga isteri tetapi juga lima anak tirinya, katanya.

- Metro

Proton Persona Baru Serendah RM46,800 Seunit

by

Foto : paultan

Proton Holding Berhad melancarkan Proton Persona serba baharu yang ditawarkan pada harga RM46,800 hingga RM59,000 seunit.

Persona generasi kedua untuk pasaran kategori kenderaan mampu milik dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed itu diadakan pada Selasa di Pusat Konvensyen Setia City, (SCCC) Shah Alam.

Dikeluarkan dengan tiga varian iaitu standard, eksekutif dan premium, Persona Serba Baharu ini dikuasakan dengan enjin 1.6 liter Variable Valve Timing  (VVT) untuk penjimatan bahan api yang lebih baik.

Ia merupakan kereta Proton pertama yang disokong indikator penanda pemanduan ECO yang menyala apabila pemanduan mencapai 100km.

Bagi varian Standard pula, ia didatangkan dengan dua pilihan transmisi iaitu 1.6 MT dan 1.6 CVT manakala varian Executive  1.6 CVT  dan varian Premium pula  1.6 CVT serta  1.6 CVT Premium (bodykit).

Sebanyak enam warna ditawarkan iaitu 'cotton white', 'fire red', 'sterling silver', 'graphite grey', 'quartz black' dan warna baharu 'carnelian brown'.

Ruang bagasi di bahagian belakang Persona Serba Baharu ini mempunyai keluasan 510 liter tanpa menjejaskan keselesaan ruangan kabin penumpang.

Selain itu, Persona Serba Baharu ini mendapat penarafan 5 bintang Asean NCAP kerana mempunyai ciri-ciri keselamatan menyeluruh seperti kawalam kestabilan elektronik (ESC) dengan sistem kawalan tarikan dan sistem brek anti-kunci (ABS).

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90